
TAWAU: Seramai 92 warga Indonesia termasuk seorang kanak-kanak dihantar pulang melalui laut pada Khamis di bawah Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI).
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, tahanan yang dihantar di bawah program yang memasuki siri ke-21 bagi kategori usir melalui laut itu bagi tahun ini, terdiri daripada 71 lelaki, 20 wanita dan seorang kanak-kanak berusia di antara 12 hingga 57 tahun.
Menurutnya, kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang itu adalah bersama ibu bapa atau penjaganya.
Katanya, kesemua mereka dipindahkan balik ke negara asal secara terus ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon Taka Indonesia dengan kerjasama Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau.
“Proses pemindahan tahanan adalah dengan iring kawal masuk sehingga ke kapal laut Mid East Express,” katanya.
Mengulas lanjut, Sitti Saleha berkata, PTI terlibat sebelum ini ditahan di Depot Imigresen kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua warga asing untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja sah untuk bekerja di negeri ini sebelum bekerja atau memasuki egara ini.
Katanya, semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi pemindahan ini merupakan sebahagian daripada operasi berterusan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh negeri ini.
Pihaknya juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pengusiran ini, khususnya Kerajaan Negeri, KRI, PDRM, ESSCOM, Lembaga Pelabuhan Dan Dermaga Sabah, Jabatan Laut Malaysia Negeri Sabah, APMM, ATB2, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Katanya, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PTI selepas melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


