SHAH ALAM, 10 DIS: Seramai 94 individu bakal menerima darjah dan bintang kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-79 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, esok.
Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim memaklumkan seramai 29 individu menerima darjah dan bintang kebesaran yang membawa gelaran, manakala selebihnya tidak membawa apa-apa gelaran.
Seramai dua individu dikurniakan darjah dan bintang kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor, manakala Dato’ Setia -Sultan Sharafuddin Idris Shah (1), Dato’ Paduka Mahkota Selangor (11) dan Dato’-Sultan Sharafuddin Idris Shah (15).
Seorang individu dianugerahkan Ahli Kegemilangan Sukan Selangor, Setia Mahkota Selangor (11), Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (11), Ahli Mahkota Selangor (16) dan Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (17).

Selain itu, dua individu dianugerahkan Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor, manakala tujuh individu menerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang.
Menurut Haris, Kerajaan Selangor membuka tawaran pencalonan bagi darjah dan bintang kebesaran serta pingat bermula 4 Jun dan ditutup 2 Ogos lalu.
“Sebanyak 2,593 pencalonan diterima iaitu 1,121 borang permohonan bagi pencalonan darjah dan bintang kebesaran, manakala 1,472 bagi pencalonan pingat-pingat Selangor.
“Seramai 94 orang calon disenarai pendek oleh Jawatankuasa Khas dan senarai calon tersebut dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Dewan di-Raja pada 4 November,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata semua calon disenarai pendek melalui tiga tapisan iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
The post 94 individu terima darjah, bintang kebesaran sempena keputeraan Sultan Selangor esok appeared first on Selangorkini.


