Seramai 98 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City, Tanjung Malim menyertai Program Mission Terra: Pendidik Cakna, Biodiversiti Terpelihara baru-baru ini.
Program berkenaan memfokuskan kesedaran dan tindakan praktikal dalam pemuliharaan biodiversiti melalui pendidikan inovatif serta aktiviti konservasi.
Penolong Kanan Pentadbiran SMK Proton City, Siti Faridah Othman berkata, ia memupuk sikap bertanggungjawab generasi muda untuk mengambil langkah proaktif dalam melindungi dan memulihara biodiversiti.
Katanya, program tersebut juga boleh melahirkan generasi muda yang sentiasa prihatin dan menghargai kepelbagaian biodiversiti.
“Ia juga selari dengan aspirasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk memperkukuhkan ekosistem pendidikan, mempelbagaikan perkongsian ilmu dan mengantarabangsakan pendidikan tinggi.
“Penglibatan aktif guru juga memainkan peranan penting dalam menggerakkan komuniti sekolah serta masyarakat untuk bersama-sama melaksanakan usaha pemuliharaan,” katanya.
Mission Terra juga melibatkan 28 mahasiswa UPSI yang mengambil inisiatif untuk menerapkan kesedaran dan tindakan praktikal dalam pemuliharaan biodiversiti melalui pendidikan inovatif serta konservasi hutan.
Program kesedaran itu bukan sahaja bertujuan mendidik peserta tentang biodiversiti, namun turut berperanan melatih peserta untuk menjadi agen perubahan dalam komuniti masing-masing.
Gabungan pembelajaran teori dan praktikal diharap dapat mencipta kesan jangka panjang terhadap pemuliharaan alam sekitar.
Dalam pada itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Sains dan Matematik UPSI, Dr Mohd Ikhwan Hadi Yaacob berkata, tujuan dan matlamat program tersebut dalam usaha untuk membuka minda serta fikiran belia tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
“Saya difahamkan program ini mempunyai gabungan tiga slot iaitu setiap satu daripadanya mengandungi perisian ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Secara tidak langsung, ia juga boleh mencungkil idea-idea baharu dalam diri belia untuk menginovasikan pendidikan,” katanya.
