98 siswazah cemerlang di Negeri Sembilan terima imbuhan

12 Jul 2022 • 3:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan melalui Yayasan Negeri Sembilan (YNS) memperuntukkan RM629,400 bagi memberi imbuhan kepada 98 siswazah cemerlang kelas pertama termasuk hapus kira pinjaman pendidikan YNS terhadap sembilan siswazah.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, kesemua siswazah cemerlang itu menerima wang tunai RM5,000 melibatkan perbelanjaan RM490,000.

"Mereka terdiri daripada 91 graduan dari institut pengajian tinggi awam (IPTA), empat graduan dari Mesir, dua graduan dari United Kingdom dan seorang dari New Zealand.

"Sembilan daripada pelajar berkenaan mendapat hapuskira pinjaman pendidikan bernilai RM139,000," katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan Siri 3, pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohamad Rafie berkata, Yayasan Negeri Sembilan turut mengagihkan bantuan kira-kira 500 komputer riba kepada mahasiswa B40 melibatkan peruntukan RM1.3 juta.

"Ia bagi meneruskan agenda pendidikan berterusan dan memastikan kesinambungan kecemerlangan pelajar. Segala keuntungan dan pendapatan yang dijana Yayasan Negeri Sembilan dikembalikan semula untuk kepentingan pendidikan anak negeri.

"Semoga bantuan ini akan memberikan lonjakan semangat kepada 200 orang pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan 300 orang mahasiswa untuk fokus belajar dan berjaya sebagaimana abang-abang dan kakak-kakak mereka yang menerima anugerah hari ini," katanya.

Sementara itu, Mohamad Rafie turut berharap agar pengiktirafan dan penghargaan tersebut dapat melonjakkan motivasi mereka untuk berjaya ke lapangan yang lebih tinggi, seterusnya menjadi contoh dan mentor terbaik kepada masyarakat.