99 penerbangan jemaah haji Malaysia selamat tiba di Tanah Suci

LocalTravel
20 May 2026 • 11:04 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 99 penerbangan jemaah haji Malaysia selamat tiba di Tanah Suci
Zulkifli Hasan (tengah) ketika sidang akhbar di Bilik Bunga Raya, Abraj Al Tayseer di sini pada Selasa.

MAKKAH – Sebanyak 99 penerbangan sewa khas membawa jemaah haji Malaysia bagi musim 1447H/2026M telah selamat tiba di Tanah Suci setakat ini, manakala penerbangan terakhir dijangka mendarat malam ini sekali gus melengkapkan keseluruhan 100 penerbangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, 31,243 daripada keseluruhan 31,600 jemaah Malaysia kini telah berada di Makkah dan Madinah untuk menunaikan ibadah haji.

“Setakat ini, 99 penerbangan telah selamat tiba di Madinah dan Jeddah, manakala penerbangan terakhir dijangka tiba jam 9.10 malam ini (waktu tempatan),” katanya pada sidang media di Bilik Bunga Raya, Abraj Al Tayseer di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kelancaran operasi ketibaan itu mencerminkan kecekapan pengurusan serta kerjasama erat pelbagai pihak termasuk kerajaan Arab Saudi.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pengalaman menggunakan inisiatif Makkah Route yang menurutnya memudahkan urusan ketibaan jemaah haji Malaysia sejak dari lapangan terbang di tanah air hingga ke Arab Saudi.

Menurutnya, proses ketibaan di terminal Jeddah juga berjalan lancar sekali gus membuktikan komitmen tinggi pihak kerajaan Arab Saudi dalam menguruskan ketibaan jemaah antarabangsa.

Beliau berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) terus mengekalkan prestasi cemerlang dalam pengurusan haji dan diiktiraf sebagai antara model terbaik dunia termasuk menerima Labaytum Diamond Award daripada kerajaan Arab Saudi.

“Alhamdulillah, saya amat berpuas hati dengan pengelolaan jemaah oleh Tabung Haji,” katanya.

Tambahnya, jemaah Malaysia kini bersedia menghadapi kemuncak ibadah haji iaitu operasi Masyair yang dijangka bermula pada 25 Jun 2026 bersamaan 8 Zulhijjah.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini mengumumkan 1 Zulhijjah jatuh pada 18 Mei 2026, manakala hari wukuf dijangka berlangsung kurang seminggu selepas itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan oleh Tabung Haji bagi musim ini termasuk penggunaan sistem digital MyNiise, teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi sistem e-TAIB serta kempen kesihatan Thoriq Ya Hajj.

TH turut menyediakan bas ulang-alik percuma 24 jam kepada jemaah yang menginap dalam lingkungan 1 hingga 1.5 kilometer dari Masjidil Haram selain memperkenalkan Program Haji Lestari (Green Hajj) melalui inisiatif kitar semula kain ihram.

Bagi operasi Masyair pula, antara penambahbaikan termasuk penyediaan sofa bed di Arafah dan Mina, sistem khemah lebih selesa dengan penebatan haba serta peningkatan kemudahan tandas sehingga lima kali ganda di Mina.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi termasuk Raja Salman bin Abdulaziz dan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman atas kerjasama erat dalam operasi haji.

Penghargaan turut diberikan kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah serta Kedutaan Arab Saudi di Malaysia atas kelancaran urusan jemaah.

Beliau turut mengingatkan jemaah Malaysia supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan termasuk penggunaan Kad Nusuk, menjaga kesihatan serta memberi tumpuan kepada ibadah sepanjang berada di Tanah Suci.

“Cuaca boleh mencecah lebih 40 darjah Celsius, jemaah perlu minum air secukupnya, kekal di khemah ketika panas terik dan mengelakkan aktiviti tidak perlu,” katanya.

Beliau turut berdoa agar semua jemaah dikurniakan kesihatan yang baik serta memperoleh haji mabrur.

View Original Article