99% Pengguna Di Sabah Dan WP Labuan Tidak Terjejas Dengan Pelarasan Tarif Elektrik

27 Dec 2023 • 10:16 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

image is not available

99% pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (WP Labuan) tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024.

Pada 13 Disember lalu, kerajaan telah bersetuju supaya pelarasan tarif elektrik di bawah pelaksanaan mekanisma Pelepasan Kos Tidak Berimbang (Imbalance Cost Pass-Through – ICPT) dijalankan.

Foto: Free Malaysia Today

Menerusi satu kenyataan Suruhanjaya Tenaga, pelarasan ini dilaksanakan secara penyasaran semula subsidi bagi pengguna Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (WP Labuan) untuk tempoh yang telah disebutkan.

Ia termasuk pengecualian surcaj ICPT akan dikekalkan kepada pengguna domestik dengan penggunaan elektrik sebanyak 1,500 kWj dan ke bawah.

Sementara itu, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj akan dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj.

Selain itu, pengecualian surcaj ICPT dikekalkan kepada pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah yang terdiri daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Manakala, pengecualian surcaj ICPT juga diberikan kepada pengguna bukan domestik yang terdiri daripada operator air dan pembentungan dalam kategori tarif voltan rendah.

Pengguna di Sabah dan WP Labuan tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik

image is not available

Foto: Buletin TV3

Dalam pada itu, pengguna bukan domestik selain PMKS dan operator air dan pembentungan akan dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj.

Berdasarkan daripada keputusan ini, sejumlah 99 peratus atau 561 ribu pengguna domestik di Sabah dan WP Labuan tidak terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024.

Kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah RM161.70 juta subsidi kepada pengguna domestik dengan kadar di bawah 1,500 kWj, pengguna bukan domestik PMKS dan operator air dan pembentungan.

Tindakan ini juga akan meminimumkan impak surcaj ICPT sepanjang tempoh pelarasan tarif elektrik ini dilaksanakan.