Apabila wabak Covid-19 mula merebak di Wuhan, kerajaan China mengambil langkah drastik menutup pengilangan di bandar industri utama seperti Shenzen. Akibatnya pengeluaran pelbagai barangan penting terjejas teruk sehingga berlaku gangguan kepada bekalan global. Jelas sekali menjadikan China “kilang dunia” adalah langkah yang tidak lagi dipandang strategik. Bagi mengelakkan pergantungan kepada China berterusan, Jepun memperuntukkan $2.2 bilion (~RM9.4 bilion) kepada syarikat tempatan untuk memindahkan pengilangan keluar dari China.

Hubungan perdagangan China dan Jepun sebelum ini tegang sehinggalah kembali pulih pada tahun 2018. Pelan stimulus yang diumumkan ini pastinya akan menimbulkan rasa kurang senang di saat semakin banyak syarikat mula memindahkan pengilangan keluar dari China akibat perang perdagangan negara ini dengan Amerika Syarikat.

