PUTRAJAYA - Setiausaha politik kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Muhammad Hilman Idham hari ini membuat membuat laporan qazaf di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berhubung penyebaran satu video lucah melibatkan Mohamed Azmin dengan lelaki bernama Haziq Aziz.
Laporan qazaf itu merupakan tindakan susulan yang dibuat selepas laporan polis dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini hari ini.
Menurut Muhammad Hilman, kedua-dua laporan itu dibuat agar membolehkan kertas siasatan dibuka terhadap penyebaran video tersebut.

“Tindakan membuat laporan polis dan qazaf ini dibuat atas kapasiti saya sebagai setiausaha politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi ke atas tuduhan palsu dan fitnah jahat terhadap menteri (Mohamed Azmin).
“Saya telah menyerahkan laporan kepada pihak polis dan percakapan saya juga telah dirakam sebagai saksi. Kita akan memberikan kerjasama yang terbuka kepada polis dan JAWI di atas segala siasatan yang akan dilakukan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Azmin tak pernah jumpa Haziq di Sandakan: Hilman
Pada masa sama, beliau turut menegaskan pendiriannya bahawa penyebaran video seks dan pengakuan Haziq sebagai satu tuduhan palsu dan fitnah jahat.
“Tuduhan palsu dan fitnah jahat yang diadakan ini untuk mencemarkan reputasi dan nama baik serta keperibadian menteri.
“Ini merupakan satu konspirasi jahat untuk menyekat kemaraan Mohamed Azmin dalam politik dan juga kejayaan-kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai pertemuan dengan Haziq seperti yang dinyatakan laman Facebooknya hari ini, Muhammad Hilman mengakui perkara itu.
Beliau berkata, mereka bertemu di Restoran Zest, Hotel Marriot Putrajaya sebelum video pengakuan dibuat namun enggan mengulas lanjut mengenainya.
“Betul... saya sudah serahkan semua maklumat itu kepada pihak polis dan kita beri ruang kepada polis untuk siasat,” katanya.
