130 PATI kebanyakan warga Afrika ditahan imigresen

15 Jun 2019 • 12:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

PUTRAJAYA - Seramai 130 pendatang asing tanpa izin (PATI) kebanyakannya berasal dari negara di Afrika ditahan dalam dua serbuan, di Kajang dan Puchong, malam tadi.

Serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia bermula kira-kira 10.30 malam semalam, berikutan aduan penduduk tempatan yang tidak selesa dengan kehadiran warga asing yang sering menimbulkan masalah sosial.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata ketika operasi, beberapa pegawai imigresen cedera akibat pergelutan dengan pendatang asing yang enggan bekerjasama.

"Ada juga yang terjun dari tingkap untuk melarikan diri manakala pegawai terpaksa memecahkan pintu ketika operasi kerana pendatang asing ini enggan membuka pintu," katanya kepada pemberita, di sini malam tadi.

Menurutnya, dalam operasi di sekitar kawasan pangsapuri, seramai 118 pendatang asing dan daripada jumlah itu, seramai 90 adalah PATI. "Mereka ialah 78 warga Nigeria, enam warga Filipina, empat kanak-kanak berusia antara satu hingga tiga tahun serta masing-masing seorang dari Pakistan dan India.

"Kesemua ditahan selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen yang sah, tinggal lebih masa dan pas lawatan sosial tamat tempoh,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata ketika serbuan dilakukan, ada di antara warga Afrika ini sedang aktif melayari media sosial menerusi komputer riba dengan menggunakan nama samaran.

"Kami syaki mereka ini terbabit dengan kegiatan scam yang sering menyasarkan rakyat tempatan. Maklumat mengenai kegiatan ini kita sudah lanjutkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam satu lagi operasi oleh imigresen di pusat hiburan di Puchong, Khairul Dzaimee berkata seramai 40 PATI ditahan terdiri daripada 23 warga Sierra Leone, empat warga Nepal, masing-masing tiga dari Tanzania, Guinea dan Kenya, dua warga Myanmar dan seorang warga Nigeria.

Katanya premis tersebut dijadikan pusat hiburan yang sering dikunjungi warga Afrika yang tinggal di sekitar kawasan Puchong dan turut menjual minuman keras secara haram.

Operasi melibatkan 96 pegawai dan anggota imigresen, 14 pegawai dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Semua PATI yang ditahan telah dibawa ke lokap imigresen di Putrajaya untuk tindakan selanjutnya. - Bernama