Gajah mati di Lahad Datu dipercayai akibat keracunan

10 Dec 2019 • 5:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

LAHAD DATU - Bangkai gajah yang ditemukan di sebuah ladang sawit di Kampung Perpaduan Skim Begahak, Jalan Tungku dekat Bakapit pagi semalam, dipercayai mati akibat keracunan.

Pegawai Hidupan Liar Lahad Datu, Sylvester Saimin berkata, sepasukan pegawai veterinar daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah diketuai Dr Bong Ai Yin telah melakukan bedah siasat ke atas bangkai gajah betina itu kira-kira jam 9 pagi tadi dan beberapa sampel telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

“Gajah itu dianggarkan berumur 20 hingga 25 tahun dan dipercayai mati antara enam hingga lapan jam sebelum ditemukan pekerja ladang kira-kira jam 7.30 pagi.

“Terdapat beberapa kesan tapak kaki gajah lain, yang dipercayai kumpulan gajah betina yang mati itu, mengelilingi bangkai itu seolah-olah melindungi gajah betina berkenaan,” katanya pada sidang akhbar mengenai kes itu di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi gajah mati ditemui di Lahad Datu

Sylvester turut memberitahu pasukan veterinar juga melaporkan terdengar bunyi sekumpulan gajah dari jauh ketika bedah siasat dijalankan.

Penemuan bangkai gajah itu merupakan yang kelima dalam tempoh kurang empat bulan selepas seekor ditemukan di Kalabakan, Tawau pada 25 September, seekor di Beluran pada 19 Oktober dan dua ekor di Kinabatangan masing-masing pada 3 dan 16 November. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved