Pernahkah anda pergi ke majlis keraian dan muzik yang dimainkan dikawal oleh seorang pengguna sahaja. Anda kemudian perlu meminta insan ini untuk memasukkan satu lagi yang ingin anda dengari ke dalam senarai main. Ia agak melecehkan dan menjadi mustahil jika anda tidak tahu siapakah yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal muzik. Spotify hari ini mengumumkan ujian Beta untuk Group Session yang memudahkan penghasilan senarai main secara berkumpulan.

Ciri ini sebenarnya telah ditemui tahun lalu oleh Jane Manchun Wong dengan nama Social Listening tetapi tidak pernah ditawarkan secara terbuka kepada pengguna untuk diuji. Menurut Spotify ujian Beta akan diberikan secara berperingkat kepada pengguna Premium sahaja pada waktu ini.
Sebagai insan yang kerap dilantik menjadi DJ di dalam kereta, ini ialah fungsi yang lama kami inginkan. Tiada lagi insiden perlu menyerahkan telefon kepada penumpang lain semata-mata untuk memasukkan lagu ke dalam senarai main.
