Asam gupal dessert viral sepanjang Ramadan

Food
3 May 2020 • 1:50 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

KUIH tradisional ini cukup sinonim dengan masyarakat Pantai Timur.

Bagi orang Terengganu, mereka memanggil kuih berkuah santan itu dengan panggilan ‘asam gumpal’. Masyarakat Kelantan pula menggelarnya dengan nama ‘ase gupal’.

Uniknya, mengikut negeri, resipi kuih itu juga berbeza inti. Ada yang kosong dan terdapat pula peminat kuih tersebut mengisi gentelan juadah itu dengan inti gula melaka.

Tidak kurang juga yang mengolahnya dengan inti manis kacang hijau, menjadikan kuih itu terus diminati.

Biarlah apa pun nama dan isi perutnya, sagu yang diadun dengan bentuk bulat berendam kuah santan itu cukup menyelerakan.

Rasanya lemak manis amat sesuai dijadikan pemanis mulut. Barangkali disebabkan keenakannya, kuih berkenaan sangat laris dan mendapat carian tertinggi di media sosial.

image is not available
NOLIA ADAM

Bagi peminat kuih tradisional, Nolia Adam tidak ketinggalan menjadikan kuih warisan itu sebagai juadah pilihannya terutama ketika berbuka puasa. Penyediaannya juga mudah.

“Emak selalu buatkan kuih ini sebagai menu wajib berbuka puasa. Lagi seronok dapat makan bersama-sama pada bulan Ramadan.

“Memang menggamit memori sebab saya rindukan air tangan mak. Kuah santan yang dimasak dengan halba, hirisan bawang merah dan halia menjadikan aroma kuih ini sangat unik,” tuturnya kepada SinarPlus.

Dikepal-kepal

Berkongsi sejarah nama kuih unik tersebut, wanita berusia 50 tahun dan mesra dipanggil Opah itu menerangkan, barangkali namanya ‘lekat’ dek cara pembuatan sagu yang digumpalkan menjadi bulat.

image is not available
SAGU yang diadun dengan bentuk bulat berendam kuah santan itu cukup menyelerakan.

Ia juga dinamakan ‘sagumpal’, mungkin kerana cara sagu yang dikepal-kepal. Asal nama sagumpal menjadi asam gumpal atau ase gupal mengikut loghat negeri masing-masing.

“Bagi saya orang Pahang, kami memang panggil dengan nama sagumpal. Selalunya saya akan buat berintikan kacang hijau yang dimasak dengan gula hingga kering dan boleh dibentuk,” ujar pemilik akaun Mas Cotek yang sering berkongsi resipi di Facebook itu.

Kepada Sinarplus, katanya minatnya menguasai ilmu masakan kuih tradisional dipupuk sejak zaman sekolah dan belajar daripada ibu mentua.

“Saya berniaga kuih selama enam tahun sebelum bertukar bidang jahitan. Tapi disebabkan minat yang mendalam, saya masih suka kongsi resipi dalam Grup Masak Yang Ceria #gmyc WhatsApp,” ceritanya.

image is not available

Resipi asam gumpal

Bahan-bahannya:

  1. 2 cawan sagu (sudah dibasuh dan ditos selama sejam)
  2. 1 cawan kacang hijau
  3. 4 cawan santan
  4. 2 ulas bawang merah kecil
  5. 1 inci halia
  6. 1 sudu teh halba
  7. 1 sudu teh garam
  8. 3 sudu besar gula pasir

Cara-caranya:

  • Masukkan satu cawan air panas mendidih ke dalam sagu yang sudah ditos.
  • Sebatikan supaya sagu boleh dibentuk dan dikepal.
  • Untuk inti, kacang hijau direbus sehingga kembang dan masukkan satu cawan gula pasir. Masak sehingga air kering dan matikan api.
  • Apabila inti sudah sejuk, buat bentuk bulat-bulat.
  • Inti kemudiannya dimasukkan dalam adunan sagu dan kukus sehingga sagu berubah warna jernih.
  • Lapik dengan bekas plastik ketika mengukus sagu.
  • Untuk kuah, masukkan santan, bawang merah, halia, halba, garam dan 3 sudu gula dan masak dengan api perlahan.
  • Apabila santan sudah masak dan cukup rasa, masukkan adunan sagu ke dalam kuah dan matikan api.
  • Siap untuk dihidangkan sebagai juadah berbuka puasa.

 

The post Asam gupal dessert viral sepanjang Ramadan appeared first on Sinar Plus.