“Adik boleh tolong angkat? Abang ni tak dapat buat”

4 May 2020 • 3:30 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

JANGAN patah semangat untuk mendapatkan apa yang kita inginkan, asalkan kita mahu berusaha pasti ada hasilnya.

Hal tersebut dibuktikan apabila baru-baru ini seorang pemuda berbangsa Cina berasa kagum melihat kecekalan penghantar makanan Foodpanda yang kehilangan upaya (kudung kedua tangan) ketika melakukan perkhidmatan penghantaran.

Pemuda yang dikenali sebagai Edmund Gan berkongsi perkara itu di Facebook miliknya sehingga kini tular di laman sosial.

Menerusi perkongsian penulisannya yang ditulis berbahasa Cina itu, beliau telah memesan minuman melalui aplikasi dalam talian tersebut sebelum kemudian dihantar pekerja Foodpanda dikenali Syahrain Razali.

Menurut Edmund Gan disebabkan kebimbangan penularan jangkitan wabak Covid-19, beliau meminta ‘rider’ tersebut meletakkan sahaja minuman itu berdekatan pagar rumah sebelum keluar mengambilnya.

image is not available

Namun, setiba sahaja makanan yang dipesan, penghantar makanan berkenaan memanggil memohon bantuan dan alangkah terkejutnya pemuda berbangsa Cina itu apabila melihat ‘rider’ tersebut kudung kedua-dua tangan.

“Adik boleh tolong angkat? Abang ni tak dapat buat”

“Masa tu saya jadi kaku sekejap sambil mata terus memandang. ‘Rider’ tu pun pandang saya penuh persoalan dan berkata, tak payah cari, memang sudah tiada (tangan),” tulisnya.

Selepas melihat dengan mata sendiri, beliau sedar itulah sebabnya ‘rider’ tersebut meminta pertolongan bagi mengeluarkan minuman dari beg GrabFood berkenaan.

image is not available

Tambah Edmund, beliau kagum dengan kesungguhan dan kecekalan ‘rider’ itu yang berusaha sendiri dalam mencari rezeki walaupun mengalami kecacatan fizikal akibat kemalangan sewaktu kecil.

Kejadian yang berlaku cukup memberi inspirasi kepada orang ramai. Perlu diingat kekurangan di dalam hidup kita bukanlah pengakhir dan penghujung dunia. Sebaliknya bersyukur dan jangan mudah putus asa serta selalu berusaha. #PastiAdaSinar

Sumber : Edmund Gan

The post “Adik boleh tolong angkat? Abang ni tak dapat buat” appeared first on Sinar Plus.