Orang ramai mula terima normal baharu sambutan Aidilfitri

LocalPolitics
24 May 2020 • 1:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KANGAR - Sambutan Aidilfitri di Perlis tetap meriah dengan orang ramai dilihat dapat menerima normal baharu dalam menyambut 1 Syawal ketika negara dilanda wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata kemeriahan sambutan Aidilfitri kali ini masih dapat dirasai dengan orang ramai menyampaikan ucapan hari raya kepada saudara-mara dan rakan-rakan menerusi panggilan video.

"Raya tahun ini mungkin berbeza daripada sebelumnya, apabila ramai sanak-saudara dan anak cucu tidak dapat pulang beraya di kampung, namun gunalah kemajuan teknologi dan komunikasi untuk bertanya khabar di alam maya dengan membuat panggilan video bagi mengubat rindu," katanya ketika dihubungi Perlis FM (RTM Perlis) menerusi program Salam Anak Perlis pagi ini.

Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar menasihati orang ramai yang ingin mengunjungi sanak-saudara pada hari raya pertama agar menjaga jarak sosial, memakai pelitup separuh muka dan mengguna pensanitasi tangan bagi mengelak jangkitan Covid-19.

"Kita perlu ikuti arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan jika ingin menang sebab penyakit ini amat berbahaya, jika dibiarkan ianya akan menular dan mendatangkan kesan kepada kesihatan rakyat dan ekonomi negara," katanya.

"Mengambil kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat hari raya kepada rakyat Perlis amnya dan penduduk Padang Besar khususnya dan memohon maaf jika ada kesilapan besar atau kecil," katanya.

Zahidi turut menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya kepada penyebaran berita palsu kerana ia boleh menyebabkan timbul fitnah serta menjejaskan keharmonian. -Bernama




Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved