Beberapa minggu yang lalau beberapa syarikat besar seperti Coca Cola dan Starbucks memboikot pengiklanan di Facebook sebagai langkah memaksa laman media sosial terbesar dunia untuk menghalang platform mereka dijadikan tempat menyebarkan ideologi kebencian. Jumlah syarikat yang memboikot pengiklanan di Facebook kini dilaporkan mencecah 400.
Dengan tekanan yang dialami, Facebook akan akhirnya menemui penganjur yang memboikot platform mereka untuk mendengar apakah penambahbaikan yang boleh dilakukan. Antara 10 permintaan utama ialah membenarkan mereka yang menjadi mangsa gangguan di laman untuk bertemu wakil Facebook. Syarikat yang iklannya dipaparkan bersebelahan kandungan yang berbentuk kebencian juga harus diberikan pampasan.

Tahun ini Facebook mengumumkan 20 ahli pertama lembaga pengawasan yang memantau kandungan di platform mereka. Sebanyak 40 ahli lembaga dari seluruh dunia ini kelak akan menjadi mahkamah tinggi yang akan meluluskan atau menghalang kandungan yang dibenarkan di Facebook.
Ramai melihat dengan pemboikotan pengiklanan sahaja Facebook akan akhirnya boleh dipaksa untuk bertindak. Sungguhpun begitu data menunjukkan 100 jenama terbesar dunia hanya menyumbang 6% kepada keuntungan pengiklanan Facebook yang bernilai lebih $70 bilion tahun lalu.
