Kamera Nikon Z5 telah dilancarkan awal pagi tadi sebagai kamera bingkai penuh kelas permulaan. Sungguhpun begitu ia masih hadir dengan sensor 24.3-megapixel CMOS dengan sokongan IBIS 5 paksi dan VR (vibration reduction) terbina bagi memastikan imej yang stabil diambil sepanjang masa. Sensor ini menyokong sehingga ISO 51200 dan dibantu oleh cip pemprosesan imej EXPEED 6.

Dari segi kemampuan video pula, Z5 boleh merakam sehingga resolusi 4K 30FPS. Terdapat sebuah skrin sesentuh sebesar 3.2″ dan sebuah viewfinder OLED dengan 3.69 juta titik. Pada sisi kiri terdapat bicu untuk mikrofon, fon kepala, HDMI dan port USB-C.
Menerusi aplikasi, kamera ini boleh dikawal pada telefon pintar dan tablet. Turut diberikan ialah sokongan menggunakan kamera ini sebagai kamera web sekiranya diperlukan. Di Amerika Syarikat Nikon Z5 mula dijual hari ini pada harga $1,399.95 (~RM5966) tanpa lensa dan $1,699.95 (~RM7244) dengan lensa kit NIKKOR Z 24-50mm f/4-6.3
