Poladrone Oryctes Ialah Dron Tempatan Yang Dibangunkan Untuk Tujuan Agrikultur

TechnologyDigital
26 Aug 2020 • 3:47 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Di acara MyDroneX yang sedang berlangsung di Putrajaya, sebuah syarikat pembangun dron tempatan bernama Poladrone telah membangunkan sebuah dron boleh-lipat yang berfungsi untuk memastikan tanaman-tanaman seperti kelapa sawit dan sebagainya.

Dron ini diberi nama Oryctes, berdasarkan serangga kumbang tanduk (oryctes rhinoceros) yang sering membelenggu petani kelapa sawit dengan merosakkan pokok-pokok mereka. Secara ironiknya, dron ini dibangunkan untuk menyembur racun serangga untuk memastikan pokok-pokok ini tumbuh tanpa masalah.

image is not available

Menurut Poladrone, dron Oryctes ini hadir dengan dua model, iaitu Oryctes Mist dan Oryctes Dual. Oryctes Mist hadir dengan satu mod, iaitu “Mist” dimana ia digunakan untuk menyembur racun perosak ke kawasan-kawasan yang luas seperti pada tapak tanaman-tanaman kecil.

image is not available

Oryctes Dual pula hadir dengan dua mod, iaitu “Mist” dan “Spot”, yang membolehkan dron ini menyembur racun perosak secara tepat ke tahap sentimeter untuk membunuh kumbang-kumbang yang menghinggap pada pokok-pokok kelapa sawit.

image is not available

Untuk mod spot ini, Oryctes dilengkapi sistem seakan-akan GPS yang dinamakan Real Time Kinematic (RTK) bersama-sama dengan muncung khas yang membolehkan racun perosak ini ditembak terus ke serangga-serangga perosak secara tepat.

image is not available

Poladrone mengatakan lagi bahawa dron Oryctes ini mampu menyembur racun perosak ke kawasan seluas 2-3 hektar dalam masa sejam, membuatkannya sangat berbaloi digunakan di ladang-ladang besar.

Dron ini juga dilengkapi dengan sistem pemetaan udara Airamap yang memberikan peladang pelbagai data berguna seperti jumlah pokok tanaman yang tepat pada kadar 99 peratus, bersama-sama dengan analisa dan visualisasi data yang berguna.

image is not available

Analisa data melalui Airamap ini boleh membantu petani untuk melihat keberkesanan kadar semburan racun perosak dan peningkatan hasil tanaman mereka untuk memastikan mereka mendapat hasil dan keuntungan maksima daripada tanaman-tanaman mereka.

Projek dron Oryctes ini juga dibangunkan dengan bantuan daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Kementerian Pengangkutan Malaysia, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Advanced Agriecological Research Sdn. Bhd. (AAR) di Futurise, Kawasan Ujian Dron (Drone Test Zone) pertama di Malaysia.