Selain daripada Xiaomi Mi 10 Ultra dan Xiaomi Mi TV LUX OLED Transparent Edition, jenama ini turut memperluaskan lagi penawaran produknya menerusi pengenalan tiga lagi aksesori pengecas terbaru. Ianya terdiri daripada Mi 55W Wireless Charging Stand, Mi 20W Smart Tracking Charging Pad dan Mi 100W Car Charger.
Mi 20W Smart Tracking Charging Pad
Pertama sekali ialah pad pengecas ini sebenarnya telah diumumkan oleh Xiaomi sekitar tahun lalu. Namun begitu, penawaran harganya tidak diumumkan pada ketika itu. Kali ini, ia diumumkan sekali lagi pada acara pelancaran ini dengan tanda harga yang ditawarkan adalah RMB499 (~RM301).

Mi 55W Wireless Charging Stand

Seterusnya ialah Mi 55W Wireless Charging Stand. Pengecas ini hadir dengan gabungan dua warna iaitu hitam pada bahagian atas dan emas sebagai warna asas. Bahan binaan yang digunakan adalah berasaskan plastik sepenuhnya dan terdapat sokongan LED pada bahagian bawah yang akan menyala apabila aksesori ini digunakan. Difahamkan, ia juga boleh digunakan pada mana-mana peranti Xiaomi yang menyokong pengecasan nirwayar. Mi 55W Wireless Charging Stand ditawarkan pada harga RMB199 (~RM120).
Mi 100W Car Charger
Penggunaan pengecas pada kereta rasanya masih relevan dan diterima oleh ramai. Makin hari, makin banyak pilihan pengecas pada kereta yang muncul di pasaran dan Xiaomi juga tidak ketinggalan memperkenalkan aksesori ini dengan penawaran menarik melalui Mi 100W Car Charger. Ia hadir dengan port USB-C yang mempunyai kuasa output maksimum 100W dan port USB-A dengan kuasa output maksimum 18W.

Pengecas ini mempunyai kuasa output maksimum 68W apabila ia mengecas dua peranti dalam masa yang sama. Ia juga dikatakan boleh mengecas penuh peranti dalam hanya 25 minit sahaja. Mi 100W Car Charger berharga RMB99 (~RM60).

