Facebook Mula Menguji Integrasi Sokongan Permesejan Instagram dan FB Messenger

TechnologyDigital
24 Aug 2020 • 12:37 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Facebook kini dilihat telah memulakan proses integrasi sokongan permesejan antara perkhidmatan mereka – bermula dengan Instagram dan Messenger.

image is not available

Sejak penghujung minggu lepas, ia dilihat pengguna tempatan telah mula menerima notifikasi berkaitan dengan integrasi permesejan antara Instagram dan juga Facebook Messenger.

Melaluinya, selepas mengemaskini, Instagram akan menggantikan paparan logo Instagram Direct kepada Facebook Messenger, dan menawarkan beberapa kemudahan permesejan tambahan.

Antara kemudahan yang disediakan adalah untuk membalas mesej dengan hanya swipe padanya, memberikan reaksi berasaskan emoji kepada sesuatu mesej yang diterima, dan paling menarik sekali adalah kebolehan untuk menghantar mesej kepada rakan-rakan di Facebook.

image is not available

Buat masa ini, kedua-dua peti inbox masih tidak disatukan, dan masih diasingkan – antara Instagram dan Messenger. Tetapi, menggunakan Instagram, anda kini boleh menghantar mesej ke rakan di Facebook.

Facebook sendiri sebelum ini telah mengatakan bakal menyatukan perkhidmatan permesejan Messenger, Instagram dan WhatsApp. Pengenalan ini mungkin langkah awal, sebelum pengenalan lebih menyeluruh dilakukan pihak Facebook.