Resdung: Ramai tak sedar diri punyai masalah ini. Jom check

6 Sep 2020 • 10:10 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

SEJAK di bangku sekolah, Fazlina Kamarazaman, 31, mula diserang simptom seperti sakit kepala melampau, kerap selesema dan paling merengsakan apabila hidungnya sentiasa berair.

Bayangkan pada usia 28 tahun iaitu selepas mendapatkan rawatan di beberapa pusat perubatan, barulah peniaga dalam talian itu mengetahui dirinya merupakan salah seorang pesakit resdung.

image is not available
FAZLINA bersama anak perempuannya.

Menceritakan kembali pengalamannya, wanita yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka itu memberitahu, kesakitannya sampai ke kemuncak sekitar tahun 2017 apabila telinganya berdengung pada tahap melampau.

“Ia telah memaksa saya segera berjumpa pakar. Masakan tidak, ‘keperitannya‘ teramat sangat sehinggakan rahang saya tidak dapat dibuka. Saya sampai nak hantukkan kepada ke dinding kerana terlalu sakit. Ubat titis yang digunakan sebelum ini nampaknya sudah tidak lagi membantu,“ ceritanya yang mendapatkan rawatan dengan empat pakar sekali gus selepas itu.

Tidak hanya Fazlina, anaknya yang berumur lima tahun turut berdepan dengan masalah sama selepas berlaku jangkitan di dalam telinga dan hidung termasuk terdapat tonsil.

“Belajar daripada pengalaman lalu, saya segera membawa anak saya mendapatkan rawatan, alhamdulillah keadaan kami berdua kini semakin pulih,“ katanya.

Ya, resdung merupakan masalah yang sering kita dengar. Semestinya, terlalu banyak rawatan yang ditawarkan terutama dalam kalangan ‘doktor yang tidak bertauliah‘.

Menjelaskan lebih lanjut mengenainya, Pakar Pelawat Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Islam Az-Zahrah, Dr Nor Eyzawiah Hassan berkata, resdung adalah satu keadaan hidung seseorang kerap tersumbat, bersin, sentiasa berhingus atau terdapat cecair hidung yang jernih.

“Kegatalan juga kerap berlaku pada hidung, mata dan telinga. Lazimnya terjadi pada waktu pagi atau sejuk. Selain itu, jika terdedah kepada debu atau habuk,“ katanya.

Pun demikian, beritahu pakar tersebut, resdung tidak berjangkit kepada orang lain.

Mengulas lanjut, Dr Nor Eyzawiah berkata, resdung atau penyakit sinus yang sinonim dalam kalangan masyarakat Melayu sebenarnya merupakan istilah untuk menerangkan gejala alahan hidung. Ia mempunyai pelbagai kategori (dalam bidang perubatan) dan gejalanya bergantung kepada pecahan kelas resdung itu sendiri.

image is not available
DR Nor Eyzawiah.

“Ingin saya jelaskan (istilah sebenar) sinus adalah merujuk kepada satu struktur berongga pada tulang tengkorak di sekitar hidung yang berhubung secara langsung dengan rongga (hidung).

“Ia dilapisi oleh mukosa yang mampu mengeluarkan lendir. Sinus adalah struktur anatomi yang wujud secara normal untuk meringankan tengkorak dan memberi bentuk muka dan kualiti suara yang normal untuk manusia. Jika sinus mengalami radang, ia dikenali sebagai sinusitis,“ jelasnya.

Kepada satu soalan, Pensyarah Perubatan ENT di Universiti Sains Islam Malaysia itu berkata, perkara yang dimomokkan oleh orang ramai kononnya terdapat ulat yang menyebabkan alahan hidung, semua itu tidak benar sama sekali.

“Ia hanya mitos yang berlegar dalam kalangan masyarakat Melayu yang menyasarkan untuk tujuan pemasaran semata-mata,“ ujar beliau.

Kategori

Secara umumnya, masalah resdung boleh dipecahkan kepada beberapa kategori iaitu:

  1. Alergi hidung
  2. Bukan alergi
  3. Rinosinusitis kronik

“Alergi hidung berlaku hasil tindak balas mukosa hidung terhadap sesuatu alergen yang pesakit alah seperti debu, hama, bulu binatang, asap atau makanan. Mukosa hidung akan bertindak balas terhadap faktor alahan (alergen) dan akan menghasilkan imunoglobulin E. Sejarah kesihatan atau keluarga yang mempunyai penyakit lelah (asma) atau ekzema (alahan kulit) juga berisiko untuk mengalami masalah ini,“ terangnya.

Mengenai resdung bukan alergi, Dr Nor Eyzawiah berkata, ia disebabkan oleh faktor-faktor lain (selain alergi) iaitu:

  • Rinitis vasomotor: Pesakit alah kepada perubahan cuaca yang terlalu sejuk atau panas.
  • Rinitis medikamentosa: Gejala hidung berlaku akibat tindak balas penyalahgunaan ubat. Contohnya, pengambilan penyembur hidung oxymetazoline secara berpanjangan.
  • Rinitis cetusan ubat: Sesetengah ubatan juga boleh menyebabkan simptom seakan resdung seperti sesetengah ubat rawatan darah tinggi dan pil perancang.
  • Rinitis kehamilan: Sewaktu mengandung, perubahan hormon juga boleh menyebabkan gejala resdung.
  • Rinitis gustatori: Makanan pedas yang boleh merangsang gejala resdung.
  • Rinitis emosi: Emosi yang tidak stabil juga menjadi faktor penyebab resdung seperti stres, kecewa atau terlalu bersedih.

Bagi kategori rinosinusitis kronik pula, ia berlaku jika radang di dalam hidung telah menyebabkan pembengkakan di dalam rongga sinus dan pengaliran lendiran hidung terjejas.

“Radang dan pengumpulan lendiran di dalam sinus akan menyebabkan gejala sakit pada muka, sakit kepala, pening dan lelehan lendiran ke bahagian belakang hidung serta nafas yang berbau. Adakalanya bau busuk itu tidak dapat dirasai atau disedari oleh pesakit tetapi (disedari) oleh ahli keluarga atau rakan-rakan sekeliling,“ ujarnya.

Menjawab kepada satu soalan lain, Dr Nor Eyzawiah berkata, bukan semua orang mempunyai gejala resdung.

“Hanya individu yang mempunyai alahan hidung  yang akan mengalaminya.

“Bagaimanapun, ia perlu dibezakan dengan jangkitan hidung atau sinus oleh virus atau bakteria kerana simptomnya yang hampir sama, cuma tempoh jangkitan dan gejalanya lebih singkat. Kanak-kanak juga boleh mendapat gejala resdung terutama yang mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai masalah alergi,“ ujarnya.

Oleh itu, kata pakar tersebut, pesakit perlu mengenal pasti faktor alahan atau alergi. Jika tidak, ujian alergi boleh dilakukan selain menggunakan pendekatan immunoterapi.

Perlu didiagnosis, rawatan

Sementara itu, Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Ezairy M. Sallih berkata, masalah resdung sebenarnya dialami oleh ramai penduduk Malaysia.

“Bezanya hanya sama ada pesakit berjumpa doktor atau tidak. Saya bercakap begini kerana ramai masyarakat kita sebenarnya mempunyai gejala resdung, cuma mereka tak sedar sedang atau telah mengalami simptom tersebut,“ katanya.

Untuk penyakit resdung, Dr Ezairy berkata, diagnosis ke atas pesakit perlu dilakukan secara berperingkat.

image is not available
DR Ezairy.

“Ia akan bermula dengan mengetahui sejarah dan latar belakang pesakit. Pada peringkat ini, doktor mungkin sudah dapat mengenal pasti kemungkinan masalah yang dialami pesakit.

“Kemudian, pakar akan meneruskan pemeriksaan  terutamanya pada hidung, tekak dan telinga. Pada tahap ini, kebiasaannya doktor sudah boleh kesan masalah sebenar pesakit,“ terang Dr Ezairy.

Jadi, apakah yang perlu dilakukan oleh mereka yang sudah didiagnosis sebagai pesakit resdung?

“Langkah pertama adalah terus mendapatkan nasihat dan melakukan pemeriksaan doktor perubatan yang bertauliah. Ia penting kerana ramai dalam kalangan pesakit lebih gemar mencuba rawatan tradisional yang belum tentu terjamin keberkesanannya. Ya, tidak salah untuk mencuba, tetapi rawatan bersama doktor mesti dimulakan terlebih dahulu,“ ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr Ezairy  berkata, lazimnya, pemeriksaan akan bermula pada muka pesakit, luar hidung sebelum pemeriksaan endoskopi dilakukan yang membolehkan struktur-struktur anatomi yang ada di dalam hidung pesakit dilihat dengan jelas.

Bagi sesetengah kes pula, sampel darah akan diambil untuk dianalisis di makmal.

“Tujuannya adalah untuk mengetahui punca masalah yang dialami pesakit sama ada disebabkan oleh alahan, jangkitan virus, bakteria atau fungus.

“Rawatan yang biasa diberikan kepada pesakit adalah memberi ubat semburan hidung. Kekerapan penggunaannya pula adalah bergantung kepada jenis  semburan hidung yang diberikan sama ada mengandungi steroid, antihistamin atau ubat pelega,“ katanya.

Pesakit juga mungkin akan diberi ubat seperti ubat alahan, pil steroid untuk sesetengah kes dan ada juga yang memerlukan ubat seperti antibiotik.

“Masalah resdung yang dikenal pasti lebih awal adalah lebih mudah untuk dirawat. Datang dan berjumpalah dengan doktor di hospital, pesakit akan dibantu,“ pesannya.

Sudah tentunya, apa juga jenis penyakit, ia boleh mengakibatkan komplikasi dan kesan sampingan. Begitu juga dengan resdung, lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak sedar ada gejala atau sudah mendapat komplikasi teruk.

“Resdung yang (teruk) sudah tentunya boleh mengganggu kualiti hidup pesakit. Untuk kes kritikal, ia boleh menyebabkan mereka kerap tidak dapat datang ke sekolah dan juga ke tempat kerja.

“Selain itu, kes resdung yang lambat diketahui, juga boleh menyebabkan jangkitan pada rongga sinus merebak. Jangkitan tersebut boleh (merebak) ke mata atau otak sehingga boleh menyebabkan pesakit mengalami sawan dan koma,“ katanya.

ANEKDOT

FAKTA mengenai resdung

  • Apabila pesakit sudah mendapatkan rawatan, mereka sudah bebas daripada gejala yang dialami.
  • Pun demikian, pesakit diingatkan bahawa gejala yang mereka pernah alami sebelum ini masih boleh berulang lagi.
  • Walaupun pesakit sudah menjalani pembedahan, masalah yang sama boleh berulang lagi.Oleh yang demikian, antara langkah yang perlu dilakukan adalah:
  • Teruskan sesi temu janji bersama doktor.
  • Teruskan penggunaan ubat yang diberi oleh pakar. Kekerapan penggunaan ubat yang disarankan mungkin berbeza bergantung kepada nasihat doktor.
  • Pesakit yang mempunyai simptom resdung dinasihatkan segera mendapatkan pemeriksaan doktor tanpa berlengah.

Sumber: Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Ezairy M. Sallih

The post Resdung: Ramai tak sedar diri punyai masalah ini. Jom check appeared first on Sinar Plus.