Hati-hati, sakit buah pinggang dalam kalangan kanak-kanak

Health & Fitness
29 Nov 2020 • 10:21 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

SEMPENA HARI KANAK-KANAK SEDUNIA

LAZIMNYA, masalah buah pinggang akan dikaitkan dengan golongan dewasa. Namun, dari aspek perubatan permasalahan itu juga boleh menyerang kanak-kanak termasuk bayi.

Justeru, para ibu bapa sememangnya dinasihatkan lebih peka terhadap kesihatan anak-anak yang sedang membesar.

Pun demikian, menurut portal perubatan antarabangsa emedicine.medscape.com, sindrom nefrotik atau penyakit buah pinggang boleh dikesan sejak bayi dalam kandungan lagi.

Portal itu juga menulis, sindrom berkenaan terjadi antara dua hingga tujuh kes per 100,000 orang dan mempunyai nisbah 2:1 bagi lelaki dan perempuan di seluruh dunia.

Apakah sindrom nefrotik atau bahasa mudahnya disebut sebagai ginjal bocor? Apakah tanda-tandanya dan sejauhmanakah keseriusan penyakit tersebut?

Mengulas lanjut mengenainya, SinarPlus mendapatkan ulasan Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan Am, Hospital KPJ Rawang, Dr Shafira Datuk Dr Mohamad Sha.

image is not available
DR Shafira.

Memberi defisini secara ringkas, Dr Shafira memberitahu, sindrom nefrotik adalah satu keadaan buah pinggang yang mana pesakit mengalami kehilangan protein dalam air kencing hingga menyebabkan aras protein dalam darah menjadi rendah.

“Sepatutnya tiada kandungan protein (0 gram) dalam air kencing seseorang. Biasanya, lebihan protein di dalam air kencing pesakit sindrom nefrotik akan melebihi 3.5 gram sehari.

“Bukan itu sahaja, keadaan itu juga memerlukan kriteria seperti kurang albumin dalam darah. Biasanya, kadar albumin dalam darah adalah 3.5 hingga 5.9 gram/desiliter,” jelasnya.

Dr Shafira berkata, kedua-dua kriteria yang dinyatakan itu sangat adalah penting untuk mengesahkan seseorang berdepan dengan gejala berkenaan.

“Namun demikian, jangan khuatir kerana hampir 90 peratus pesakit berjaya bebas, meskipun ada kes berulang direkodkan,” katanya.

Tiada kaitan genetik

Kepada SinarPlus, Dr Shafira memberitahu, secara umumnya, sebab mengapa berlakunya sindrom nefrotik dalam kalangan kanak-kanak tidak diketahui.

Namun demikian, ada kajian yang mendapati berkemungkinan besar penyakit itu berkait rapat dengan sistem imun badan.

Sindrom nefrotik juga dikatakan tidak diwarisi dalam keluarga (tiada elemen genetik sindrom nefrotik) dan ia turut tidak disebabkan oleh jangkitan yang khusus ataupun pemakanan yang salah, kata beliau.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Zubaidi Ahmad menerusi entri Facebooknya berkata, sindrom nefrotik pada kanak-kanak dan dewasa mempunyai persamaan dan sedikit perbezaan dari segi punca-puncanya.

Katanya, secara am, gejala penyakit itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu:

i) Sindrom Nefrotik Primer

Punca primer adalah satu keadaan apabila tiada penyebab-penyebab sistemik (penyakit lain) dapat dikesan. Ia juga diklasifikasikan sebagai sindrom nefrotik idiopatik dan merangkumi kondisi seperti Minimal Change Disease (MCD) dan Focal-Segmental Glomerulosclerosis (FSGS).

Perkara yang perlu diketahui adalah punca primer merupakan penyebab majoriti kepada kes dalam kanak-kanak dengan kadar kes melebihi 90 peratus.

Ujar Dr Zabuidi, apa yang dapat dirumuskan mengenai keadaan tersebut adalah kegagalan faktor imun menyebabkan serangan pada tisu glomerulus dalam buah pinggang. Gejala tersebut lebih terlihat pada kanak-kanak berbanding dengan orang dewasa. Kebiasaannya, jangkitan kuman atau selesema menjadi pencetus kepada penyakit itu.

ii) Sindrom Nefrotik Sekunder

Punca sekunder sindrom nefrotik biasanya dialami oleh orang dewasa. Ia disebabkan oleh kerosakan pada tisu glomerulus dalam buah pinggang.

Menjawab pertanyaan apakah tanda-tanda seorang kanak-kanak boleh mendapat sindrom nefrotik, Dr Shafira menjelaskannya secara terperinci.

“Antara tanda-tanda kanak-kanak diserang sindrom nefrotik adalah berlaku pembengkakan yang sangat ketara pada bahagian anggota badan.

image is not available

“Bengkak (oedema) sindrom nefrotik biasanya berlaku sekitar kaki, mata, tangan dan lain-lain. Ia seperti bengkak air yang terjadi akibat ketidakseimbangan protein dan cecair di dalam saluran darah yang menyebabkan limpahan ke kawasan anggota terlibat,” katanya.

Selain itu juga, kata pakar itu, kencing si kecil akan mengeluarkan buih.

Menjawab satu soalan, sindrom nefrotik kata Dr Shafira boleh disahkan melalui beberapa kaedah. Antaranya:

i) Pemeriksaan air kencing

ii) Pemeriksaan kuantitatif kandungan protein yang hilang dalam air kencing dalam sehari.

  • Air kencing boleh dikumpul dalam masa 24 jam bagi kanak-kanak yang lebih besar atau orang dewasa. Bagi kanak-kanak yang kecil, satu sampel air kencing secara rawak pada waktu pagi boleh diambil.

iii) Ujian darah untuk paras protein (albumin) dalam badan, fungsi buah pinggang dan paras kolesterol.

  • Paras kolesterol biasanya tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami sindrom nefrotik.

image is not available

iv) Ujian makmal lain yang perlu dilakukan bergantung kepada gejala klinikal kanak-kanak tersebut atau ditentukan oleh pakar.

Pemakanan sistematik, steroid

SinarPlus turut merujuk Pakar Pediatrik, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr Khamini Ramanujam mengenai topik yang diketengahkan Medik pada minggu ini.

image is not available
DR Khamini.

Dr Khamini berkata, sindrom nefrotik terjadi melibatkan dua hingga 15 kes bagi setiap 100,000 orang kanak-kanak setiap tahun.

“Dalam kalangan kanak-kanak yang lebih besar dan orang dewasa, penyakit berkenaan boleh berlaku berikutan masalah perubatan yang lain seperti diabetes atau lupus eritematosus sistemik. Dalam erti kata lain, nefrotik boleh berlaku pada semua peringkat umur,” katanya.

Namun demikian, ujar beliau, ia sangat kerap berlaku pada kanak-kanak.

“Untuk kanak-kanak, biasanya berlaku pada peringkat umur satu tahun setengah dan empat tahun selain kerap terjadi kepada lelaki muda,” beritahu beliau.

Mengenai rawatan pencegahan, Dr Khamini berkata, ia boleh diatasi dengan mengambil kira aspek pemakanan iaitu mematuhi pengambilan protein makanan yang normal dengan kalori yang mencukupi.

“Doktor juga akan memberikan ubat steroid. Kortikosteroid adalah hormon yang berfungsi membendung sel darah putih dan faktor-faktor keradangan.

“Prednisolone adalah ubat kortikosteroid yang sering kali digunakan untuk merawat gejala sindrom nefrotik dalam kalangan pesakit. Ubat ini akan diberi untuk durasi antara 30 hari hingga tiga bulan atau lebih, bergantung kepada respons pesakit,” ujarnya.

Pun demikian, Dr Khamini berkata, ubat steroid mempunyai kesan-kesan sampingan seperti berlaku kerapuhan tulang, depresi, kenaikan berat badan dan lemah badan jika digunakan dalam tempoh yang lama.

“Oleh sebab itu, ubat steroid tidak digunakan sebagai ubat jangka panjang dan sering ditukar dengan ubat pengganti steroid,” katanya lagi.

Selain itu, pesakit juga akan diminta untuk mengawal pengambilan cecair dan garam terhad.

“Pengambilan cecair mesti dihadkan mengikut jumlah air kencing yang keluar. Jumlah pengambilan cecair yang disarankan adalah bergantung kepada jumlah air kencing hari sebelumnya dan ditambah dengan 500 mililiter air yang hilang melalui proses selain daripada kencing (contoh pernafasan, berpeluh dan lain-lain). Pengambilan garam mesti dikurangkan untuk mengelakkan penakungan cecair dan garam di badan,” jelasnya.

Beliau menambah, ubatan diuretik juga akan diberikan untuk menggalakkan peningkatan pengeluaran air kencing yang mana mungkin perlu diberi melalui suntikan intravena.

“Oleh itu, sekiranya ibu bapa sudah mengenal pasti simptom-simptom sindrom nefrotik terjadi kepada anak-anak kecil atau diri sendiri, maka segeralah ke klinik atau hospital berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

“Penyakit itu mempunyai prognosis yang baik bagi majoriti pesakit dan disebabkan itu, pemeriksaan dan rawatan awal adalah amat disyorkan,” katanya.

ANEKDOT

RAWATAN dan pemantauan Sindrom Nefrotik

  • Ubat yang disarankan untuk rawatan sindrom nefrotik dalam kalangan kanak-kanak ialah sejenis steroid iaitu prednisolone.
  • Penggunaan prednisolone perlulah di bawah arahan seorang pakar pediatrik. Dos ubat dikira berdasarkan berat dan tinggi kanak-kanak.
  • Kesan sampingan prednisolone adalah meningkatkan selera makan, pengumpulan lemak pada perut dan muka serta sakit perut.
  • Kebanyakan pesakit sindrom nefrotik akan menunjukkan respons positif dengan rawatan ubat prednisolone. Walaupun demikian, sakit ini kerap berlaku semula (dikenali sebagai relapse).
  • Tanda pertama keberkesanan ubat prednisolone adalah tiada protein dalam air kencing. Tanda pertama relapse adalah kemunculan semula protein dalam air kencing.
  • Oleh itu, pemantauan air kencing di rumah setiap hari dengan urine dipstick adalah amat penting untuk mengetahui keberkesanan rawatan dan mengesan sebarang relapse.
  • Sekiranya ujian dipstick adalah negatif untuk 3 hari berturut-turut, ini bermakna pesakit menunjukkan respons terhadap rawatan dan berada dalam remission. Ini biasanya berlaku antara 7 – 10 hari selepas pengambilan ubat prednisolone dan pembengkakan akan hilang.
  • Sekiranya protein dalam air kencing adalah positif untuk 3 hari berturut-turut dan pembengkakan berlaku semula, pesakit dikatakan mengalami relapse dan segeralah berjumpa doktor. Pusingan baharu rawatan prednisolone akan dimulakan semula.

Sumber: http://www.myhealth.gov.my/nephrotic-syndrome-in-childhood/        

Rieqal kerap menangis, kaki membengkak

DUA tahun lalu, ibu muda yang berusia 21 tahun ini telah berhadapan detik sukar apabila anak sulungnya disahkan mempunyai sindrom nefrotik iaitu penyakit yang berkait rapat dengan masalah buah pinggang seawal usia dua tahun.

image is not available

Norhidayah Che Mat atau mesra digelar Dayah berkongsi detik-detik itu bersama SinarPlus.

“Alhamdulillah, kini anak sulung saya, Rieqal Ikhwan Zaidi, 4, sudah pulih daripada sindrom itu. Tidak salah saya, hampir sembilan bulan juga Rieqal perlu menerima rawatan dan makan ubat yang diberikan,” kongsi wanita yang berasal dari Pulau Pinang itu.

Mengimbau kembali bagaimana buah hatinya menghidap sindrom nefrotik, Dayah berkata, pada awalnya beliau melihat bahagian kakinya yang membengkak.

“Pada waktu itu anak saya masih tidak boleh bercakap dan memberitahu kakinya sakit, tetapi beliau kerap menangis dan merengek.

“Namun demikian, melihat perubahan (bengkak) yang semakin ketara dari hari ke hari, saya terus membuat keputusan untuk merujuk pakar,” ujarnya yang juga mengakui pertama kali mendengar sindrom nefrotik pada masa itu.

Pada mulanya, Dayah hanya menganggap Rieqal hanya mempunyai alahan atau alergi pada makanan sahaja.

Namun, selepas beberapa kaedah pemeriksaan dijalankan,  doktor mendapati kandungan kolesterolnya tinggi dan mengesahkan anaknya mempunyai penyakit berkenaan.

“Doktor juga memberitahu bahawa kes-kes sindrom nefrotik itu adalah sangat biasa dengan kanak-kanak dan orang dewasa dan insya-ALLAH ia boleh sembuh apabila anak semakin membesar.

“Bukan itu sahaja, doktor juga memberitahu bahawa penyakit itu berkemungkinan besar boleh berulang pada masa akan datang. Antara ‘petua’ yang boleh dilakukan bagi mengelak diserang semula adalah sentiasa jaga pemakanan anak-anak,” kongsinya.

The post Hati-hati, sakit buah pinggang dalam kalangan kanak-kanak appeared first on Sinar Plus.