Air Selangor: Hanya air bersih disalur kepada pengguna

7 Dec 2020 • 9:57 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 7 DIS: Penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijamin menerima bekalan air bersih meskipun beberapa kali berdepan insiden pencemaran sumber air, kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ini kerana, ketua pegawai eksekutifnya berkata agensi itu tidak akan menyalurkan bekalan air kepada pengguna ketika bacaan pencemaran bau berada pada tahap  1 atau 2 TON (kiraan kadar pencemaran).

“Kita tidak akan berkompromi, jika air tidak selamat, lebih baik tutup loji daripada mendatangkan risiko tinggi kepada pengguna,” kata Suhaimi Kamaralzaman menerusi sebuah rancangan televisyen, malam tadi.

Loji Rawatan Air (LRA) yang ditutup disebabkan pencemaran bau akan memulakan semula operasi memproses air mentah untuk disalur kepada pengguna selepas bacaan pencemaran berada pada tahap 0 TON.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata Air Selangor tidak menolak kemungkinan permintaan terhadap bekalan air meningkat dalam tempoh 30 hingga ke 50 tahun akan datang.

“Jika permintaan tinggi, mungkin kita juga akan menggunakan bekalan air laut seperti Singapura sekiranya ia tidak dapat dielakkan.

“Tetapi, bagi sektor industri, kita menjangka untuk mengguna air kumbahan yang dirawat, ia hanyalah untuk industri bukannya minuman,” katanya.

image is not available
Seorang petugas Air Selangor memeriksa meter tekanan air pada mesin penapis (band screen) di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2, Kuala Selangor pada 19 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

The post Air Selangor: Hanya air bersih disalur kepada pengguna appeared first on Selangorkini.