Anwar: Siasat segera kartel daging import, heret dalang ke mahkamah

26 Dec 2020 • 4:27 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 26 DIS: Kerajaan Persekutuan digesa segera menjalankan siasatan menyeluruh kartel mendalangi isu penyeludupan daging import yang diragui status halal.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalang yang didakwa dalam kalangan kakitangan agensi kerajaan perlu diheret ke muka pengadilan kerana melakukan tindakan tidak bermoral.

“Ini ternyata satu kegiatan yang tidak bermoral tatkala kita harus pertingkatkan segala usaha dan upaya dalam memerangi rasuah dan kebobrokan. Namun kakitangan kerajaan ini mudah dibeli sekali gus mengabaikan tanggungjawab mereka kepada negara dan rakyat.

image is not available
“Saya menggesa kebobrokan seperti ini dihentikan. Saya juga mendesak kerajaan dan kementerian untuk segera menjalankan siasatan rapi, cekap, dan telus serta mengheret dalang ke muka pengadilan,” kata ketua pembangkang di Facebook.

Ahli parlimen Port Dickson berkata kontroversi terbabit mencemarkan nama baik industri halal di negara ini.

“Skandal ini ternyata telah merobek reputasi dan imej institusi itu yang diamanahkan memulia dan meningkatkan darjat Islam.

“Meski dikurniakan peruntukan yang bukan kecil hampir setiap tahun, namun skandal ini telah merosakkan kepercayaan umum kepada institusi tersebut,” katanya.

The post Anwar: Siasat segera kartel daging import, heret dalang ke mahkamah appeared first on Selangorkini.