SHAH ALAM, 29 DIS: Kerja pembaikan paip pecah di Bulatan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 15 di sini dijangka siap sepenuhnya pada jam 9 malam ini.
Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) melalui status di Twitter memaklumkan kerja tersebut sedang giat dilaksana bagi memastikan bekalan air di beberapa kawasan pulih semula.
“Kerja-kerja pembaikan paip pecah di Bulatan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 15 di Shah Alam sedang dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya pada jam 9 malam ini,” maklum syarikat itu.
Sebanyak 130 kawasan di wilayah Klang/Shah Alam serta Petaling mengalami gangguan bekalan air susulan insiden paip pecah pagi tadi.
Bekalan air bagi wilayah terbabit ditutup bermula jam 1 tengah hari dan tempoh pemulihan bergantung kepada lokasi serta jarak premis.
Status gangguan bekalan air boleh didapati melalui laman web http://www.airselangor.com, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi pusat perhubungan di talian 15300.
The post Kerja baiki paip pecah Seksyen 15 siap malam ini appeared first on Selangorkini.


