SHAH ALAM, 2 DIS: Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang ditubuhkan bagi mencegah pencemaran sumber air di negeri ini mula beroperasi sejak semalam.
LUAS menerusi kenyataan memaklumkan, pasukan itu turut disertai kakitangan Pengurusan Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.
Turut terlibat ialah anggota pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah dan tanah serta agensi lain yang berkaitan.
“Pemantauan akan dilakukan di kawasan sensitif sumber air di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang bagi mencegah berlakunya pencemaran sumber air dan meminimumkan risiko henti tugas loji rawatan air.
“Pemantauan 24 jam tanpa henti ini bagi memastikan kelangsungan sumber air Selangor sentiasa terjamin dan terpelihara,” katanya dalam kenyataan.
Agensi itu turut memaklumkan, penubuhan Skuad Pantas LUAS itu juga selari dengan peruntukan Belanjawan Selangor 2021 dalam menangani masalah pencemaran air.
“Skuad ini juga merupakan urus setia kepada Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor yang bertanggungjawab menyelaras dan melaksanakan tindakan segera kawalan kecemasan sumber air selaras dengan Manual Pelan Tindakan Kecemasan Sumber Air Negeri Selangor,” katanya.
The post Skuad Pantas LUAS ditubuhkan, pantau 24 jam sumber air appeared first on Selangorkini.


