KLANG, 3 DIS: Pengurusan kilang sarung tangan Top Glove digesa menutup sepenuhnya operasi dalam tempoh sementara bagi membendung penularan Covid-19, kata wakil rakyat Meru.
Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata langkah itu wajar diambil berikutan kebimbangan masyarakat setempat terhadap jangkitan wabak melibatkan pekerjanya.
“Arahan penutupan kilang oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara berperingkat, namun secara peribadi saya mengharapkan (penutupan) sepenuhnya mungkin dua minggu untuk memastikan wabak tidak merebak.
“Kita tidak tahu siapa sudah dijangkiti Covid-19 dan mungkin dalam kalangan warga tempatan sendiri yang bekerja di kilang terbabit,” katanya pada Program Saringan Covid-19 Komuniti Bersasar di pekarangan Dewan Masyarakat Taman Meru 3 semalam.
Beliau berkata tindakan tegas perlu dikenakan terhadap segelintir kakitangan di asrama kilang yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang didakwa kerap melakukan pergerakan keluar masuk dari kawasan itu dan meningkatkan risiko penularan wabak.
“Pengurusan kilang masih belum berjaya mengawal sepenuhnya kakitangan mereka apabila ada yang sanggup memanjat pagar asrama untuk keluar daripada kawasan PKPD,” katanya.
Mohd Fakhrulrazi turut menasihati penduduk tidak panik dan bimbang sekiranya terdapat pertambahan kes Covid-19 menerusi saringan bersasar semalam.
“Paling penting adalah penduduk perlu sentiasa menjaga SOP yang ditetapkan kerana kita masih belum menang,” katanya.
The post ADN Meru gesa tutup sepenuhnya operasi kilang Top Glove appeared first on Selangorkini.


