Tiga kluster tempat kerja dikesan di Selangor

11 Dec 2020 • 8:53 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 11 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan tiga kluster baharu di Selangor membabitkan jangkitan tempat kerja.

Ketua pengarah kesihatan berkata kluster Sungai Putus di Klang merupakan kluster pekerja kilang dengan kebanyakan kes awal dilaporkan kelmarin.

“Susulan itu 2,001 individu disaring. Sebanyak 427 dikesan positif melibatkan 418 warga asing dan sembilan warganegara,” katanya dalam kenyataan.

Bagi kluster Erima, beliau berkata ia dikesan di Gombak yang mana kes indeks disahkan positif pada Selasa melalui saringan individu bergejala.

“Berikutan itu, majikan telah melaksanakan saringan kepada 83 individu dengan 28 lagi kes positif dikesan setakat hari ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kluster Jalan College di Petaling pula menyebabkan 11 jangkitan positif.

“Kes indeks kes ke-68,884 dilaporkan pada 3 Disember selepas menjalani saringan bergejala. Sehingga hari ini 35 individu lain turut disaring,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengisytiharkan penamatan dua kluster di negeri ini iaitu Taman Laut dan Ikhtisas.

The post Tiga kluster tempat kerja dikesan di Selangor appeared first on Selangorkini.