SHAH ALAM, 26 JAN: Kerajaan Negeri dicadang mewujudkan akademi khusus bagi melahirkan bakat baharu e-sukan berbanding menganjurkan pertandingan secara fizikal.
Pemain profesional pasukan FIFA Malaysia Nur Amirul Afandi berkata langkah itu bagi memastikan kesinambungan dalam bidang yang semakin diminati ramai.
Jelasnya, penubuhan akademi juga boleh menepis tanggapan masyarakat terhadap permainan elektronik yang didakwa kurang bermanfaat.
“Kerajaan Negeri boleh bina akademi atau menganjurkan program berbentuk hiburan pendidikan untuk menerangkan kepada masyarakat berkenaan e-sukan. Saya lihat banyak pertandingan dianjurkan tetapi hasil selepas itu tiada,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.
Dikenali sebagai Amtuah dalam Team Haq, Nur Amirul, 27, menjelaskan e-sukan dipandang tinggi di Eropah termasuk Jerman yang menyediakan pakar pemakanan dan fisioterapi kepada setiap pasukan.
Menurutnya, bidang itu turut menekankan isu kekuatan fizikal dan mental selain pemakanan berikutan pemain akan berdepan suasana berbeza ketika menyertai pertandingan.
“Di Eropah, mereka tekankan perkara yang nampak kecil tetapi sebenarnya memberi impak besar kepada pemain kerana setiap pertandingan pastinya berbeza daripada segi masa dan cuaca,” katanya yang kini membuat persiapan kelayakan Piala Dunia individu pada Februari.
Pada masa sama, beliau turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang memperuntuk RM3 juta dalam Belanjawan Selangor 2021 bagi pembangunan e-sukan.
Pada Mac lalu, Kerajaan Negeri menganjurkan Pertandingan Siber Selangor (SGC) versi duduk rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Turut dianjurkan Selangor Xtiv Virtual e-Sport.
The post Wujudkan akademi khas cungkil bakat pemain e-sukan appeared first on Selangorkini.


