SUBANG JAYA, 25 FEB: Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 menuntut penjelasan Jabatan Perumahan Negara (JPN) berhubung pemotongan bekalan air di kawasan itu sejak awal pagi Rabu.
Noor Akisyah Mohamad Yusof,41, berkata ia penting kerana penduduk tidak mahu lagi berdepan masalah air hingga menjejaskan urusan harian.

“Kenapa bekalan dipotong sedangkan meter penduduk adalah individu dan kami membayar terus kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.
“Jika ada yang tak bayar, hanya bekalan air rumah itu saja dipotong tetapi mengapa keseluruhan terlibat? Jadi, kami mohon penjelasan lanjut,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Seorang lagi penduduk, Mohd Fakhrul Hisham Ibrahim,44, berkata pihak pengurusan pangsapuri sepatutnya mengeluarkan notis pemotongan lebih awal supaya penduduk dapat menyimpan bekalan air.
“Pemotongan dibuat secara mengejut dan menyusahkan penduduk kerana tiada simpanan bekalan air bersih. Kami harap masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Bermula awal pagi Rabu, bekalan air 1,580 unit rumah PPR Lembah Subang 2 dipotong selepas JPN gagal membayar tunggakan bil bernilai lebih RM100,000.
The post Bekalan air dipotong, penduduk PPR Lembah Subang 2 tuntut penjelasan appeared first on Selangorkini.

