KKM: Elak perjumpaan besar-besaran pada Tahun Baharu

12 Feb 2021 • 12:59 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mengadakan perjumpaan besar-besaran semasa sambutan Tahun Baharu Cina.

Dr Noor Hisham dalam hantaran menerusi Facebook beliau berkata walaupun situasi Covid-19 di negara ini beransur baik, perjumpaan besar boleh menyebabkan peningkatan kes.

“Covid-19 sekali lagi menahan diri kita daripada menyambut satu lagi perayaan dan perjumpaan semasa Tahun Baharu Cina ini.

“Sama ada kita melakukannya atau memutuskannya semasa perayaan ini bagi mengawal situasi. Tanggungjawab terletak pada bahu semua orang,” katanya.

Dr Noor Hisham juga mengingatkan mereka yang menyambut perayaan itu supaya berada di rumah dan meraikannya bersama ahli keluarga, dan paling penting melindungi ahli keluarga yang rentan.

“Semoga tuhan membimbing dan melindungi kita untuk menamatkan pandemik ini pada waktunya. Insya-Allah, semoga Tahun Lembu emas ini membawa kekuatan kepada kita untuk berhadapan dan mengatasi setiap kesukaran yang dilalui. Selamat Tahun Baharu Cina,” katanya.

Masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baharu Cina hari ini dan Sabtu dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat, sama seperti sambutan Aidilfitri dan Deepavali tahun lepas.

– BERNAMA

The post KKM: Elak perjumpaan besar-besaran pada Tahun Baharu appeared first on Selangorkini.