267 murid SRAI Kampung Melayu Subang terima manfaat ulang kaji dalam talian

12 Feb 2021 • 11:44 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KOTA DAMANSARA, 12 FEB: Seramai 267 murid kurang berkemampuan daripada Sekolah Rendah Agama Islam (SRAI) Kampung Melayu Subang terima manfaat penggunaan aplikasi ulang kaji Osem.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Misni Mohd Dahlan berkata beliau berharap aplikasi itu dapat membantu meningkatkan mutu pembelajaran.

“Kita hargai inisiatif Ahli Parlimen Sungai Buloh (R Sivarasa) sudi bantu memberi aplikasi secara percuma selama setahun khusus buat golongan kurang berkemampuan.

“Semoga kemudahan ini juga dapat meningkatkan lagi prestasi pelajar dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) atau Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR),” katanya kepada Media Selangor selepas majlis pelancaran aplikasi Osem semalam.

Mengulas sama ada ketiadaan gajet menjadi halangan, Misni berkata pelajar terbabit rata-ratanya mempunyai peranti elektronik sendiri selain turut mendapat tajaan daripada wakil rakyat serta PIBG.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Aplikasi Osem, Dato’ Abdul Radzeen berkata platform yang ditubuh sejak dua tahun lalu itu telah membantu lebih 200,000 pelajar.

“Menariknya mengenai aplikasi ini adalah pelajar akan diberi ganjaran seminggu sekali jika mereka berjaya mencapai sasaran. Selain itu, kita juga sediakan sistem untuk ibu bapa memantau anak mereka,” jelasnya.

Aplikasi Osem menawarkan kira-kira 2,000 soalan setiap minggu yang disediakan oleh lebih 17,000 guru seluruh Malaysia yang boleh didapati menerusi App Store dan Google Play Store.

 

The post 267 murid SRAI Kampung Melayu Subang terima manfaat ulang kaji dalam talian appeared first on Selangorkini.