Oppo Enco X Juga Rasmi Di Pasaran Malaysia Pada Harga RM699

TechnologyDigital
25 Mar 2021 • 5:10 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Seiring pengenalan Oppo Find X3 Pro, jenama ini turut hadir dengan penawaran aksesori audio baharu untuk pengguna di Malaysia – iaitu Oppo Enco X. Ia merupakan TWS mercu daripada Oppo yang padat dengan ciri premium – baik dari segi luaran mahupun dalaman.

Lebih menariknya, Oppo bekerjasama dengan Dynaudio untuk penghasilan fon telinga ini. Bagi yang berminat, fon telinga ini ditawarkan pada harga RM699 untuk seunit. Terdapat tiga pilihan variasi warna menarik yang ditawarkan – iaitu Black, White dan Blue. Dalam pada itu, setiap pembelian Oppo Enco X juga akan disertakan dengan Oppo Band (bernilai RM159) secara percuma.

image is not available

Dari segi rekaan, ia menawarkan gabungan rekaan fon jenis dalam telinga bertangkai dan pod pengecas yang berbentuk bujur. Menurut Oppo, setiap fon telinga mempunyai rekaan dwi-unit coaxial. Selain itu, ia juga dilengkapi pemandu audio bersaiz 11mm, sebanyak tiga mikrofon disertakan dan menawarkan sokongan pembatalan hingar aktif secara hibrid.

Difahamkan juga, fon telinga ini berfungsi melalui cip dwi-teras dan mempunyai sehingga empat aras pengurangan hingar – termasuklah mod Transparency. Spesifikasi lain termasuklah – pelindungan IP54, ketahanan bateri maksimum 25 jam, tambatan pantas, pengecasan secara nirwayar, Bluetooth 5.2 dan banyak lagi.