KUALA LUMPUR, 13 MAC: Malaysia yakin dengan keputusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berhubung persetujuan bersyarat penggunaan vaksin AstraZeneca dalam mencegah Covid-19.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kerajaan menerima ketetapan agensi tersebut untuk memperoleh vaksin dikeluarkan firma Britain-Sweden bersama Universiti Oxford.
“Malaysia percaya dengan pertimbangan NPRA dalam mengeluarkan persetujuan (bersyarat) yang tentunya meneliti perkara penting iaitu keselamatan, kualiti dan keberkesanan vaksin AstraZeneca,” katanya dipetik New Straits Times.
Kenyataan Adham dikeluarkan selepas Denmark dan sejumlah negara Eropah membuat keputusan menangguhkan penggunaan vaksin itu susulan beberapa pesakit di Denmark mengalami darah beku apabila menerimanya.
Adham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti laporan diterbitkan European Medicines Agency (EMA) pada 11 Mac mengenai kes di Denmark dan menjelaskan tiada petunjuk mengaitkan AstraZeneca sebagai penyebab atau kesan sampingan terhadap kejadian itu.
Program Perkhidmatan Farmasi KKM mengatakan walaupun vaksin tersebut diberikan pendaftaran bersyarat oleh Lembaga Pemantauan Dadah (DCA) Malaysia namun ia belum tersenarai untuk digunakan dalam Program Imunisasi Nasional Covid-19.
“NPRA akan terus memantau keselamatan vaksin untuk kegunaan pencegahan Covid-19 biarpun tiada petunjuk jelas mengenai kejadian di negara berkaitan dan kemas kini lebih lanjut akan dibuat merujuk hasil dapatan EMA serta dikawal selia jika perlu,” katanya.
EMA dalam kenyataan di laman sesawangnya memaklumkan menyedari keputusan diambil Pihak Berkuasa Kesihatan Denmark untuk menghentikan sementara penggunaan vaksin tersebut sementara menunggu hasil siasatan penuh terhadap laporan darah beku dialami pesakit termasuk satu kes kematian.
Selain Denmark, negara Eropah lain seperti Norway, Iceland, Estonia, Latvia, Lithuania dan Luxemburg juga menangguhkan sementara penggunaan vaksin AstraZeneca.
Sementara itu, Thailand menjadi negara pertama di rantau Asia Tenggara yang membuat keputusan sama.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 2 Mac telah mengumumkan DCA telah memberikan kelulusan bersyarat kepada tiga produk vaksin Covid-19 termasuk produk dibangunkan AstraZeneca untuk digunakan di negara ini.
Dilaporkan proses penghantaran vaksin tersebut akan dijalankan pada April.
The post Malaysia guna vaksin AstraZeneca dengan bersyarat appeared first on Selangorkini.


