Sultan sokong Johor rayu keputusan mahkamah isu kalimah Allah

23 Mar 2021 • 4:24 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 23 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyokong usaha DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam.

“Beta juga berkesempatan untuk membaca titah yang dizahirkan oleh DYMM Sultan Johor dan menyokong penuh titah Sultan Johor yang meminta Kerajaan Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan mahkamah tinggi tersebut,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dalam kenyataan media hari ini, Sultan Selangor juga menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk memohon mahkamah itu sebagai pencelah dalam rayuan tersebut.

Baginda juga menyeru perkara sama dilakukan Majlis Agama Islam Negeri lain bagi memelihara kemuliaan kalimah Allah dan kesucian Islam.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, mahu Kerajaan Persekutuan meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut Kristian bagi tujuan pendidikan.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda selaku Ketua Agama Islam di Johor, sudah menitahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengambil apa-apa tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha rayuan berkenaan.

Pada 10 Mac lalu, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan tiga pengisytiharan deklarasi oleh seorang wanita keturunan Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.

Mahkamah turut memutuskan selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang dibenarkan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah Kaabah, Baitullah dan solat.

Nor Bee dalam penghakimannya, berkata penerbitan buku agama atau bahan keagamaan Kristian yang menggunakan empat perkataan itu bagaimanapun hendaklah disertakan dengan penafian (disclaimer) dan lambang salib pada kulit buku.

The post Sultan sokong Johor rayu keputusan mahkamah isu kalimah Allah appeared first on Selangorkini.