KUALA SELANGOR, 21 MAC: Penganjuran program Saringan Komuniti Covid-19 percuma di sesuatu lokasi selepas dikenal pasti berisiko berhubung penularan wabak.
Pengurus Klinik Selcare berkata ia berdasarkan kajian melalui kaedah kecerdasan buatan (artificial intelligence) atau lebih dikenali AI dengan jangkaan terdapat kes pandemik.
“Dengan itu kita berasa kawasan berkenaan akan berlaku peningkatan kes. Dari situ ditentukan lokasi seterusnya,” kata Mohd Noor Md Nasir ketika ditemui di lokasi saringan di Dewan Bestari Jaya hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata program seterusnya pada minggu hadapan adalah di Balakong dan Pandan Indah.
“Melalui maklumat awal ini kita harapkan lebih ramai orang awam akan datang untuk buat saringan,” katanya.
Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.
Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) iaitu membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.
Orang ramai yang ingin menjalani ujian perlu terlebih dahulu mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan kemudiannya membuat pengesahan dengan petugas.
The post Saringan Covid-19 di kawasan dikenal pasti berisiko appeared first on Selangorkini.

