Kompaun RM10,000 terpakai semua kategori PKP – menteri

13 Mar 2021 • 7:01 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Kompaun RM10,000 mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021 terpakai untuk semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini bermakna mereka yang berada di kawasan PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan boleh dikenakan kompaun RM10,000 sekiranya melanggar tatacara operasi piawai (SOP) kawasan berkenaan.

“Tapi (orang awam) harus faham, tindakan polis mengeluarkan kompaun itu berdasarkan Ordinan Darurat yang dilaksanakan dan ia adalah untuk keselamatan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah bagi pembangunan projek Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Satria Residensi, Sungai Besi, di sini hari ini.

Ismail Sabri sekali lagi menegaskan polis tidak mempunyai kuasa untuk mengurangkan jumlah kompaun yang dikenakan, sebaliknya mereka yang menerima notis kompaun tersebut boleh membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah.

Mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021, notis kompaun yang dikenakan bagi pelanggaran SOP PKP ialah RM10,000 berkuat kuasa 11 Mac, manakala syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh dikompaun RM50,000.

– BERNAMA

The post Kompaun RM10,000 terpakai semua kategori PKP – menteri appeared first on Selangorkini.