SHAH ALAM, 26 MAC: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguh pelaksanaan Undi 18 tahun (Undi 18) serta pendaftaran automatik ke 1 September 2022 melanggar keputusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam kenyataan media malam tadi berkata penangguhan itu membelakangkan suara rakyat dan menafikan hak anak muda.
Katanya SPR mesti bertanggungjawab sepenuhnya di atas penangguhan itu yang merupakan kegagalan besar kerana melanggari Perlembagaan.
“Penggantunggan Parlimen tidak harus disalahgunakan untuk membelakangkan Perlembagaan dengan sewenang-wenangnya,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu melibatkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Sebelum ini SPR dalam kenyataan media menyatakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 dijangka hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 ekoran pelbagai kekangan.
Majlis Presiden PAKATAN berkata kegagalan itu mencerminkan kelompongan SPR yang tidak bebas, menyalahi perjalanan proses perundangan dan lemahnya dedikasi terhadap semangat demokrasi.
Katanya Kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri tidak boleh mengelak daripada turut bertanggungjawab di atas kegagalan besar ini.
“Undi 18 mesti dilaksana seperti dijadual dan diumum di Parlimen oleh Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyudin Hassan sebelum ini, iaitu Julai 2021.
“Sekiranya jaminan dan janji Datuk Seri Takiyuddin tidak ditunaikan maka beliau harus letak jawatan dengan segera,” katanya.
PAKATAN berpendirian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak patut diadakan selagi Undi 18 tidak dilaksana sepenuhnya.
“Sekiranya PRU15 diadakan sebelum Undi 18 dilaksana, ianya menafikan suara 3.8 juta anak muda dan menjadi dosa terbesar Kerajaan Perikatan Nasional kepada generasi yang akan datang,” katanya.
The post PAKATAN: Tangguh laksana Undi 18 langgar keputusan Dewan Rakyat appeared first on Selangorkini.


