SHAH ALAM, 8 MAC: Seramai 3,794 pemohon berdaftar dalam program Selangor Kerjaya bagi mencari pekerjaan sepadan setakat ini, kata ketua pegawai eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar.
Norita Mohd Sidek berkata daripada jumlah itu, 3,598 adalah graduan universiti manakala selebihnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.
“Seramai 1,013 individu memohon masih bekerja dan 2,781 menganggur berikutan hilang pekerjaan termasuk graduan yang belum memiliki kerjaya,” katanya kepada SelangorKini.
Beliau memaklumkan seramai 38 daripada 80 individu yang terpilih menghadiri temu duga dalam talian dan fizikal berjaya ditempatkan ke pelbagai sektor pekerjaan.
Menurutnya, sebanyak 1,384 kekosongan jawatan disediakan daripada 32 majikan yang berdaftar dengan perkhidmatan Selangor Kerjaya.
Pada 26 Januari, laman sesawang www.selangorkerjaya.com.my dilancarkan sebagai usaha menangani isu penggangguran khususnya individu hilang pekerjaan susulan Covid-19.
Perkhidmatan itu menawarkan pelbagai maklumat untuk pencari kerja dan majikan mendapat tenaga kerja yang menepati kekosongan jawatan.
Program tersebut juga disasar menawarkan 10,000 peluang pekerjaan dalam tempoh tiga tahun pascawabak.
The post Lebih 3,000 pemohon daftar Selangor Kerjaya appeared first on Selangorkini.

