Beri peluang adil, lebih 30 peratus wanita teraju pentadbiran negeri

8 Mar 2021 • 4:11 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 8 MAC: Sebanyak 32.9 peratus wanita terlibat dalam pentadbiran negeri termasuk sebagai pembuat keputusan setakat Oktober tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata pelantikan termasuk datuk bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya dan ketua pegawai eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan usaha selaras agenda memperdana isu gender dalam pembangunan demi mewujudkan negeri, komuniti dan negara harmoni.

“Kita memilih wanita berkaliber dan berkemampuan untuk mengemudi agensi penting sekali gus membuktikan Selangor memberi peluang adil kepada golongan itu,” katanya dalam rakaman video sempena Hari Wanita Sedunia 2021.

Sementara itu, Amirudin berkata tema wanita bangkit mendepani cabaran bertepatan suasana hari ini sebagai pembakar semangat untuk mengatasi halangan.

Beliau turut berterima kasih kepada wanita di sekelilingnya terutama ibu dan isteri yang banyak memberi sokongan dalam kehidupan serta kerjaya.

“Sudah pasti saya sampaikan mesej ini kepada ibu saya yang melahir dan mendidik juga isteri dan anak perempuan yang sentiasa memberi inspirasi dalam kehidupan dan perjalanan yang mencabar ini,” kata Amirudin lagi.

 

The post Beri peluang adil, lebih 30 peratus wanita teraju pentadbiran negeri appeared first on Selangorkini.