SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan dicadang menamatkan larangan pergerakan rentas negeri berikutan tiada lonjakan mendadak kes Covid-19 membabitkan aktiviti itu.
Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata sudah tiba masanya kebenaran diberikan kecuali ada bukti kukuh penularan baharu pandemik, lapor Sinar Harian.
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan penularan kes baharu ketika ini disebabkan situasi tertentu seperti penjara, depot tahanan dan asrama kilang yang padat.
“Saya ingin tegaskan tiada lonjakan mendadak daripada pergerakan ke negeri-negeri lain yang ketara. Jadi, pulang ke kampung halaman pada bila-bila masa bukanlah masalah sebenar,” katanya.
Bekas menteri kesihatan juga berkata kerajaan perlu mempertimbang beberapa kaedah dalam mengawal penularan wabak.
Katanya, ia termasuk melaksanakan saringan kit pantas antigen (RTK-Ag) besar-besaran, memberi fokus kepada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di tempat berisiko tinggi dan meningkatkan kesedaran kesihatan.
“Tidak ketinggalan, memberi kesedaran kepada rakyat bahawa vaksin adalah salah satu komponen melawan pandemik bukannya penyelesaian muktamad sehingga kita mencapai sasaran 80 peratus divaksinasi,” katanya.
The post STFC cadang kerajaan benar rentas negeri appeared first on Selangorkini.


