'Saya boleh bertanding mana-mana Parlimen saya suka'

Politics
27 Mar 2021 • 1:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau boleh bertanding di mana-mana kerusi Parlimen yang diingininya.

Ini kerana katanya, sebagai pemimpin nombor dua parti terbesar orang Melayu itu beliau boleh berbuat demikian.

"Saya boleh bertanding mana-mana Parlimen yang saya suka, dari Perlis sampai ke Johor," katanya pada sidang akhbar sebaik selesai berucap merasmikan Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin mengatakan dirinya akan bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sementara itu, ditanya mengenai sasaran jumlah kerusi yang ingin dimenangi Barisan Nasional (BN) dalam PRU akan datang, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembau berkata, parti itu mensasarkan sekurang-kurangnya 80 kerusi.

ARTIKEL BERKAITAN: PRU15: BN kekal bertanding atas lambang sendiri

Katanya, jumlah itu belum mengambil kira jika kerjasama Muafakat Nasional (MN) tidak diteruskan.

"Kalau tidak ada kerjasama (dengan Pas) kita kena bertanding 100 lebih (kerusi). Kita tengok dahulu macam mana (masa depan kerjasama dengan Pas).

"Buat masa sekarang ini kita masih bersama Pas," katanya.