SHAH ALAM, 15 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan menyelesaikan segera isu yang boleh menjejaskan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19.
Menyokong program itu, ketua pembangkang bagaimanapun mempersoal bagaimana kerajaan dapat memastikan 1.4 juta rakyat mengisi maklumat lengkap menerima suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.
“Kita baca laporan atau celoteh warga di ruang maya bahawa terdapat segelintir mereka yang terpaksa mendaftar berkali-kali sebelum proses pendaftaran disahkan di dalam sistem.
“Justeru, apa langkah kerajaan setakat sekarang dalam menyelesaikan masalah ini?,” soal ketua pembangkang menerusi kenyataan media hari ini.
Pada masa sama Anwar turut menyoal sama ada kerajaan sudah mengenalpasti kaedah untuk meningkatkan kesedaran rakyat terhadap pentingnya mengambil vaksin terutama golongan antivaksin.
“Apa yang telah dilakukan kerajaan dalam meyakinkan gerombolan antivaksin
(mereka yang menolak pengambilan vaksin) memandangkan ianya tidak wajib?
“Sudahkah kerajaan fikirkan juga isu keselamatan vaksin, memandangkan terdapat juga kumpulan warga yang mempunyai kegusaran terhadap vaksin?,” soal Anwar.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson juga meminta kerajaan menjelaskan isu ketelusan dalam mendapatkan vaksin serta dalam meluncurkan program vaksinasi.
“Sejumlah RM3 bilion wang negara telah dibelanjakan bagi mendapatkan pelbagai jenis vaksin. Apa parameter yang digunapakai dalam membuat keputusan bagi mendapatkan pelbagai jenis vaksin ini?,” soal beliau.
Hari ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata kira-kira 1.4 juta individu tidak melengkapkan pendaftaran menerima vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.
Menurutnya, mereka hanya mengisi nama dan nombor kad pengenalan untuk pendaftaran penerimaan suntikan vaksin namun tidak menjawab soalan penilaian kesihatan serta melengkapkan alamat terkini masing-masing.
The post Anwar: Kerajaan harus segera atasi isu urus vaksin appeared first on Selangorkini.

