AMPANG, 7 MAC: Umat Islam perlu bersabar berhubung keputusan mengehadkan bilangan jemaah ke masjid dan surau di negeri ini.
Dato’ Menteri Besar berkata tindakan itu demi kebaikan bersama serta mengelak fitnah menjadi punca perebakan Covid-19 seperti berlaku dalam kes Masjid Seri Petaling pada Mac tahun lepas.
“Saya ada menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk berbincang hati ke hati dan tuanku berulang kali menekankan mahu menjaga kemulian agama.
“Tuanku selaku ketua agama Islam mahu mengelak fitnah terhadap orang Islam seperti mengatakan golongan tabligh menjadi punca kes Covid-19,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan kepada Masjid Bandar Baru Ampang dan Masjid Jamiul-Huda, Kampung Melayu Ampang dalam program Jelajah Kita Selangor ke Parlimen Ampang hari ini.
Kluster Perhimpunan Sri Petaling melibatkan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling mula dikesan pada 11 Mac dan diisytihar tamat pada 8 Julai tahun lepas.
Seramai 42,023 individu disaring dalam kluster terbesar Covid-19 di negara ini dengan 3,375 daripadanya positif.
The post MB: Had bilangan jemaah masjid, elak Islam difitnah appeared first on Selangorkini.

