SHAH ALAM, 6 APRIL: Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) dan The Ocean Cleanup teruja Coldplay sedia menaja Interceptor kedua untuk kerja pembersihan sungai di negara ini.
Dalam kenyataan bersama, keputusan menempatkan jentera inovasi ciptaan badan bukan kerajaan (NGO) Belanda Interceptor 005 masih dalam penelitian dengan pihak berkaitan.
“Melalui pengalaman memberangsangkan di Klang, kami berharap dapat memperluas operasi kami, bermula dengan interceptor 005 pada separuh kedua tahun ini.
“Malah kami juga menimbang untuk meningkatkan penyelesaian teknologi perairan bersih di seluruh negara,” katanya.
Tambahnya, keputusan pihaknya memasang Interceptor 005 berdasarkan kejayaan hubungan dan jaringan yang dibina melalui Interceptor 002 yang ditempatkan di Sungai Klang sejak Oktober 2019.
Sebelum ini, Interceptor dilaporkan menyumbang kepada proses pembersihan Sungai Klang yang lebih efektif apabila 35 tan metrik sampah dan sisa pepejal berjaya dikumpul dalam tempoh sebulan.
Pada 23 Mac, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembersihan Sungai Klang sejak lima tahun lalu berjaya meningkatkan bacaan indeks kualiti air (WQI) daripada kelas empat kepada tiga.
Beliau menambah perkembangan itu juga didorong penggunaan inovasi jentera tersebut yang menjadi pelengkap kepada usaha pembersihan di perairan sepanjang 56 kilometer dari Mid Valley ke muara sungai di Pelabuhan Klang.
The post Landasan Lumayan teruja Coldplay taja Interceptor kedua appeared first on Selangorkini.

