Google Meet Dikemaskini Dengan Sokongan Auto Zum, Mod Jimat Data Dan Kini Lebih Ceria Dan Interaktif

TechnologyDigital
22 Apr 2021 • 1:15 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sudah lebih kurang setahun Hangouts Meet dijenamakan semula kepada Google Meet. Ia adalah langkah Google bersaing dengan Zoom, Skype, Microsoft Teams dan lain-lain sebagai perkhidmatan telesidang mereka tersendiri. Dari terhad kepada pengguna usahawan dan untuk pendidikan, sehinggalah ia percuma digunakan. Sepanjang satu tahun ini juga sudah banyak ciri dan fungsi menarik diperkenalkan seperti sokongan Chromecast, Android TV, membisukan peserta dan pelbagai lagi.

image is not available

Walaupun vaksin sudah mula diedarkan dan banyak syarikat sudah mula beroperasi seperti biasa, Covid-19 belum hilang dan semua SOP harus terus dijaga dan dipatuhi. Ada juga yang masih bekerja dari rumah, bergilir dengan rakan ke pejabat dan lain-lain. Oleh yang demikian, Google meneruskan usaha menjadikan Google Meet lebih menarik dan seronok digunakan.

image is not available

Laman utama Google Meet ketika telesidang dilakukan kini mempunyai antaramuka baharu. Pengguna kini boleh memilih tiles kegemaran untuk menjadi fokus utama. Contohnya tile pembentangan dan hos jika dipilih akan lebih besar dan menjadi titik fokus. Pengguna juga boleh pilih tetapkan dua hos serentak agar boleh fokus kepada apa yang mereka ingin sampaikan. Kemudian suapan video pengguna sendiri boleh disembunyikan untuk fokus kepada peserta lain.

image is not available

Google turut memperkenalkan mod penjimatan data sambil mengekalkan kualiti telesidang yang tinggi. Ia untuk mereka di negara yang harga data mudah alih mahal atau perlahan. Google Meet untuk web juga menerima sokongan mod pencahayaan rendah, yang mana jika kamera mengesan suasana gelap – video pengguna akan dicerahkan secara automatik. Selain itu, mod auto zum turut ditawarkan untuk meletak pengguna di tengah-tengah bingkai. Auto zum terhad kepada pengguna berbayar sahaja.

image is not available

Akhir sekali, setiap sesi telesidang kini boleh mengubah kepada latar belakang yang lebih ceria dengan animasi. Pengguna turut boleh paparkan soal jawab dan undian untuk menjadikan pengalaman penggunaan lebih interaktif. Kemaskini ini akan diedarkan secara berperingkat di masa akan datang. Ada yang terhad kepada pengguna berbayar dan ada juga percuma untuk semua.