Lyft ialah sebuah syarikat perkhidmatan seru-pandu yang bertempat di Amerika Syarikat, bersaing dengan Uber dalam pelbagai aspek selain daripada perkhidmatan seru-pandu sahaja.
Sama seperti Uber, Lyft turut dilihat cuba untuk membangunkan angkatan kereta swapandu mereka sendiri untuk mengurangkan kos kebergantungan kepada pemandu manusia dan meningkatkan keuntungan.
Akan tetapi, plan Lyft nampaknya tidak kesampaian, kerana mereka baru sahaja dilaporkan akan menjual bahagian teknologi swapandu mereka, yang dinamakan Level 5 kepada sebuah anak syarikat Toyota yang dinamakan Woven Planet Holdings untuk $550 juta (~RM2.2 bilion).
Projek kenderaan swapandu Level 5 ini dimulakan oleh Lyft sekitar 4 tahun lalu dan mempunyai tenaga kerja seramai 400 orang. Selepas pengambil-alihan ini selesai, pasukan tersebut akan beroperasi dari pejabat mereka di Palo Alto tetapi dibawah naungan Woven Planet Holdings.
Menurut laporan, Lyft akan menerima pembayaran sebanyak $200 juta terlebih dahulu, dimana baki $350 juta akan dibayar oleh Toyota sepanjang 5 tahun akan datang.
Penjualan ini tidak bermakna bahawa Lyft kehilangan aspirasi industri swapandu mereka, tetapi dengan kerjasama sedia ada bersama-sama pembuat kenderaan swapandu Motional, mereka akan membangunkan bahagian Lyft Autonomous untuk memastikan kenderaan-kenderaan dibawah penyeliaan mereka akan hadir dengan ciri-ciri unik untuk kegunaan syarikat tersebut sahaja.

