SHAH ALAM, 11 APRIL: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menganjurkan Festival Ramadan Selangor (Festira) bermula 13 hingga 27 April, kata EXCO pembangunan usahawan.
Rodziah Ismail berkata Festira memberi peluang kepada lebih 200 usahawan memasarkan produk secara fizikal dan dalam talian menerusi platform Bazar Lokal yang disediakan Lazada.
“Kerajaan Negeri dengan kerjasama Lazada juga menyediakan studio di SACC Mall untuk mempromosi produk usahawan secara langsung menerusi platform media sosial.
“Bagi merancakkan lagi aktiviti jual dan beli, seramai 10,000 pembeli terawal bakal memperoleh baucar RM200,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festira di SACC Mall hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata usahawan di negeri ini terus dibimbing bagi menyesuaikan diri dengan ekosistem pendigitalan.
“Perubahan ke arah pendigitalan membolehkan pemasaran produk lebih meluas, bukannya hanya tertumpu pasaran setempat,” katanya.
Pada Ramadan tahun lepas Kerajaan Negeri menyediakan dua saluran e-dagang iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats), ruang untuk peniaga menjual juadah berbuka puasa.
Beberapa lokasi e-Dapur turut diwujudkan di Ampang, Bangi, Semenyih, Sepang, Damansara, Klang, Petaling Jaya, Puchong, Seri Kembangan dan Subang Jaya.
Selain itu, Kerajaan Selangor melancarkan e-Bazar Raya khusus untuk 5,000 usahawan tempatan menjana semula ekonomi susulan penularan Covid-19.
The post Festival Ramadan Selangor tawar baucar RM200 kepada 10,000 pembeli awal appeared first on Selangorkini.


