PASIR MAS - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menghalang anggota atau pegawai yang bercita-cita memajukan kerjaya mereka selepas kenaikan pangkat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bagaimanapun berkata, tindakan menggunakan kenaikan pangkat untuk mewujudkan kartel tertentu dalam pasukan bagi tujuan tertentu adalah tidak baik.
"Bagi saya, tidak salah bagi mana-mana pegawai atau anggota yang mempunyai cita-cita bagi memajukan kerjaya dengan hasrat naik pangkat.
"Cuma tidak boleh menggunakan kenaikan pangkat untuk mewujudkan kumpulan tertentu dalam pasukan bagi tujuan yang tidak baik," katanya ketika berucap pada sesi Lawatan Ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir.
Menurutnya, seluruh warga kerja PDRM diingatkan supaya mengamalkan integriti yang tinggi dengan menolak rasuah.
Beliau berkata, perkara itu perlu bagi memastikan imej polis terus dipandang tinggi oleh masyarakat.
Abdul Hamid berkata, budaya meminta-minta untuk menganjurkan majlis keramaian harus dihentikan.
Katanya, semua jabatan yang ada di dalam PDRM perlu bersatu hati dan bekerjasama dalam memenuhi matlamat dan hala tuju pasukan.
"Saya juga mahu penugasan anggota terutama di lokap diselia dengan baik. Hal ini bagi mengelak berlakunya salah laku yang boleh mencemarkan nama baik PDRM dan menjejaskan keyakinan masyarakat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata, PDRM telah menghantar kertas kerja kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memperkasakan Jabatan Narkotik.
Katanya, pemerkasaan itu merangkumi penambahan dan pembesaran keanggotaan.


