BERITA baik buat golongan wanita! Korang kini boleh memohon bantuan MyKasih Kapital iaitu modal perniagaan berjumlah RM1,000 khas untuk golongan wanita.
Program bantuan MyKasih Kapital ini merupakan salah satu insentif tambahan kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena Sambutan Hari Wanita pada 8 Mac lalu.
Bantuan ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPKWM) melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Ia juga sebagai insentif tambahan untuk memberi faedah secara langsung kepada kaum wanita yang berbentuk suntikan modal perniagaan.
Selain itu, pemberian insentif ini adalah sebagai satu usaha menggalakkan kaum wanita berniaga terutamanya yang terlibat dalam bidang e-dagang atau dropship.
Kerajaan juga akan menambah inisiatif MyKasih Kapital dengan modal maksimum sebanyak RM1000 kepada sekurang-kurangnya 2000 penerima berkelayakan.
MyKasih Kapital ini diberikan untuk memperkasakan ekonomi kumpulan sasar yang terkesan dengan pandemik wabak Covid-19 melalui bantuan modal perniagaan.
Dalam pada itu, ia juga membantu meningkatkan taraf hidup mereka yang memerlukan bantuan kewangan segera melalui peruntukan kewangan bagi memulakan perniagaan.
Syarat kelayakan MyKasih Kapital;
Warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.
Golongan wanita sahaja.
Ketua keluarga yang merupakan pencari nafkah utama keluarga.
Individu yang menanggung keluarga tetapi hilang mata pencarian.
Wanita yang mempunyai suami tetapi suami tidak berkeupayaan untuk mencari nafkah disebabkan sakit.
Berminat dan bersungguh-sungguh menceburi bidang perniagaan sebagai sumber pendapatan.