SHAH ALAM 27 APRIL: Usahawan dan selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Haris Ismail masing-masing dikenakan kompaun RM20,000 dan RM10,000 kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi berkata seramai 20 ahli keluarga Neelofa turut dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM30,000 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal satu meter sewaktu majlis akad nikah.
Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata semua individu terbabit dikenakan kompaun hari ini dengan jumlah keseluruhan RM60,000.
Beliau berkata Neelofa dikenakan kompaun yang tidak dibenarkan diskaun kerana melakukan dua kesalahan, manakala Haris atau dikenali PU Riz melakukan satu kesalahan.
Katanya kesalahan pertama Neelofa selaku penganjur gagal mematuhi arahan pematuhan SOP penganjuran majlis sosial apabila gagal memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah.
“Pasangan suami isteri itu juga melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri diberikan pegawai diberi kuasa mengikut subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran diberikan polis,” katanya.
Mohamad Zainal berkata, tindakan kompaun itu mengikut Peraturan 19 Peraturan- Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.
“Pada 26 April (semalam), kertas siasatan kes pelanggaran SOP PKPB majlis perkahwinan Neelofa dikembalikan dari Pejabat Peguam Negara dengan keputusan mengenakan kompaun.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi PKPB. Kegagalan mematuhi perintah itu membolehkan tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” katanya.
Neelofa, 32, diijabkabulkan dengan PU Riz, 26, yang juga pelakon dan pendakwah bebas di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, pada 27 Mac lalu.
The post Neelofa didenda RM20,000, suami RM10,000 langgar SOP appeared first on Selangorkini.

